TIGA REKOD DIPECAHKAN DALAM SATU MALAM — INILAH JDT

Memenangi perlawanan sahaja bukanlah lagi menjadi KPI utama buat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) tetapi lebih kepada menang dan mencipta sejarah demi sejarah dan menjadi legasi.

Inilah yang dilakukan para pemain JDT ketika berdepan cabaran UiTM FC dalam perlawanan Liga Super semalam. Mereka bukan hanya menang bergaya tetapi memecahkan rekod lama kelab. Bukan satu bukan dua tetapi tiga.

Rekod pertama yang dipecahkan adalah pemain paling muda menjaringkan gol buat JDT dalam Liga Super. Ketika semua risau melihat keadaan Safawi Rasid, Arif Aiman tenang memikul tanggungjawab sebagai pengganti dengan meledak gol cantik seminit selepas dimasukkan.

Beliau menjaringkan gol ketika berusia 18 tahun 10 bulan mengatasi rekod yang dipegang oleh Hadin Azman dari 2013. Apa yang lebih menarik, semalam genap setahun beliau melakukan debut dengan skuad senior apabila dimasukkan ketika bertemu Felda United pada musim 2020.

Tidak cukup dengan itu, kemenangan semalam juga merekodkan kali pertama JDT tidak dibolosi sebarang gol pada tiga perlawanan pertama Liga Super sejak 2013. Barisan pertahanan dan penjaga gol, Farizal Marlias bertindak cemerlang memastikan gawang JDT kekal kebal.

Selain kompak di bahagian belakang, barisan tengah dan serangan JDT sememangnya cemerlang apabila berjaya meledak lapan jaringan. Tertinggi dalam sejarah kelab dan apa yang menarik kesemua lapan gol dijaringkan lapan pemain berbeza.

Gol-gol JDT dijaringkan oleh Safawi Rasid dan Natxo Insa ketika bertemu Kedah Darul Aman FC, Leandro Velazquez dan Fernando Rodriguez ketika menentang Penang FC manakala Arif Aiman, Gonzalo Cabrera, Bergson Da Silva dan Syamer Kutty Abba menghasilkan jaringan ketika bertemu UiTM FC.

Tidak putus asa, sentiasa bermain sebagai satu pasukan dan percaya kepada pemain muda berbakat adalah kekuatan sebenar yang ada pada JDT. Semua perkara ini sering ditekankan kepada para pemain JDT untuk menbentuk skuad yang dahagakan kejuaraan.

Tahniah JDT. Sekarang kita nantikan apa pula sejarah dan rekod baharu yang bakal dilakar oleh pasukan dinamik ini. Ayuh para penyokong kita bakar semangat pemain dengan sentiasa memberikan sokongan walaupun gagal hadir ke stadium.

Tahniah juga kepada 683,000 penyokong yang menonton siaran langsung menerusi laman YouTube unifi. Kita semua rindu bola sepak dan terima kasih para pemain kerana tidak menghampakan harapan kita semua.

Luaskan Kuasamu Johor

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply