Tular di media sosial apabila ada pihak yang kurang senang dengan cara Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menguruskan pelatih akademi jika dibandingkan dengan pasukan lain.
Masing-masing bebas memberikan pendapat mereka tetapi apa yang penting adalah mereka harus melihat dengan lebih mendalam apakah kepentingan akademi bola sepak dalam membentuk generasi bola sepak negara yang mantap.
Pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sedar untuk berdaya saing dalam industri bola sepak dalam satu jangka masa yang panjang, sesebuah kelab perlu mempunyai akademi mereka sendiri.
Projek akademi bola sepak adalah satu projek jangka panjang dan atas sebab itu, sesebuah kelab perlu mempunyai kestabilan dari sudut kewangan dan pengurusan serta pelan masa depan pemain yang bagus.
Akademi bola sepak seharusnya bertindak seperti institut pengajian yang mana setiap pelajar yang keluar bakal mendapat pekerjaan dan dalam konteks bola sepak ialah – pelatih akan mendapat tempat untuk bermain dalam mana-mana pasukan dengan kebajikan mereka yang dijamin.
Dengan itu pemain akan kekal fokus dalam tugasan mereka dan tidak perlu berfikir untuk mencari pekerjaan sambilan demi kelansungan hidup ekoran kekangan kewangan pasukan yang mereka sertai. Ini bakal menjejaskan moral para pemain yang disebut-sebut sebagai bakal legenda negara.
Penubuhan Akademi JDT dirancang dengan teliti dengan mendapatkan kepakaran dari kelab gergasi Sepanyol, Valencia dan juga kelab Jerman, Borussia Dortmund. Kelab-kelab ini bukan sahaja memberi pandangan mengenai ‘set-up’ tetapi juga membekalkan jurulatih mereka yang berpengalaman dalam pembangunan pemain bola sepak.
Akademi JDT adalah salah satu akademi yang lengkap di Malaysia. Malah bekas jurulatih pasukan B-19 Bayern Munich, Lim Teong Kim sendiri mengesyorkan pemain remaja yang berhajat untuk meneruskan karier profesional dalam bola sepak supaya menyertai Akademi JDT memandangkan kelengkapan prasarana yang serba canggih dan moden.
Beliau juga menganggap latihan yang diadakan di Akademi JDT tersusun dan menepati kehendak bola sepak moden dan antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara. Untuk membimbing pemain muda, kelengkapkan pusat latihan yang mengikut piawaian antarabangsa memainkan peranan penting dan di Akademi JDT segalanya lengkap bermula dari peringkat akar umbi sehingga peringkat senior.
Pendapat beliau perlu diberi perhatian serius kerana beliau sudah masak dengan selok belok pembangunan pemain di Eropah dan beliau sendiri adalah antara jurulatih yang bertanggungjawab mencungkil bakat pemain sensasi Jerman, Thomas Muller.
Kini Akademi JDT sedang berkembang dengan penghasilan pemain remaja terbaik dari seluruh negara. Kejayaan demi kejayaan yang dicapai skuad Akademi JDT menggambarkan keberhasilan modul yang diterapkan.
Kebanyakan pemain Akademi JDT adalah hasil dari pembentukan pelatih dari usia muda dengan pendedahan kepada DNA bola sepak moden sehingga mereka dilihat selesa bermain bola sepak.
Keputusan-keputusan cemerlang dari setiap peringkat umur memberi gambaran bahawa pemain-pemain muda JDT kini sedang dalam pembikinan dan bakal mewarnai senario bola sepak tempatan. Semuanya adalah hasil usaha keras barisan jurulatih dan pengorbanan dari ibu bapa pelatih sendiri.
Di JDT tidak pernah ada jalan singkat. Pembangunan pelatih akademi dijalankan secara berperingkat dan bukannya membawa masuk bakat-bakat dari akademi luar atas kapasiti mahu menguatkan pasukan.
Ini terbukti apabila ada pasukan yang mempamerkan aksi cemerlang apabila menyenaraikan bekas pelatih akademi kebangsaan tetapi layu apabila hanya menggunakan produk akademi mereka sendiri.
Ingatlah tiada jalan pintas dalam pembangunan pemain muda. DNA ini harus disemai di peringkat akar umbi dan biarkan ia bercambah dan tumbuh mekar secara sihat dan alami.
Akhir kata melentur buluh biar dari rebungnya dan jangan menang sorak kampung tergadai.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.