“Jika kita boleh bermimpi mengenainya, kita pasti boleh melakukannya. Kita akan berjaya, tidak kira berapa lama masa yang perlu diambil” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Masa hadapan Harimau Selatan adalah segalanya. DYAM Tunku Mahkota Johor sentiasa memastikan bahawa setiap pencapaian dan kejayaan pada hari ini bukan berjangka hayat pendek. Fasa perjalanan yang telah diaturkan menjadikan JDT sentiasa maju kehadapan.
Segala aset kekal, struktur hasil, populariti, projek jangka masa panjang, kawalan hutang, ekuiti serta melahirkan bakat baharu dari produk akademi JDT adalah usaha yang sentiasa diberi tumpuan demi kesinambungan legasi Empayar Harimau Selatan. Suatu fundamental perjuangan baginda.
Namun segalanya berpunca dari rasa cinta dan sayang baginda kepada rakyat dan bangsa Johor secara khususnya.
Tanpa keikhlasan dan cinta, kelab ini tidak akan sekukuh seperti hari ini. Kerana perkara itu, stabiliti kelab sentiasa terjamin.
Kerana itu juga, segala yang dibina oleh DYAM Tunku Mahkota Johor adalah tidak mensasarkan kepada keuntungan. Baginda tidak menetapkan sebarang harapan untuk organisasi JDT mengembalikan semula semua pelaburan yang telah dikeluarkan sendiri dari kantung baginda.
Apa yang dimahukan sejak dari dahulu lagi adalah untuk melonjak martabat negeri Johor supaya sentiasa dipandang tinggi. Kewujudan JDT juga secara tidak langsung berjaya memupuk rakyat Johor supaya berbangga dilahirkan di bumi selatan ini.
“Inilah panji kepadanya saya berkhidmat, inilah panji yang saya pertahankan, dan deminya saya sanggup berkorban” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Menjadi positif dalam situasi negatif bukanlah hal yang naif. Ini adalah bentuk sikap kepemimpinan. DYAM Tunku Mahkota Johor sentiasa optimis dan percaya bahawa suatu hari nanti, jika dikendalikan mengikut tatacara yang betul, JDT akan menjadi kelab bola sepak yang dikenali dunia.
Sembilan tahun telah berlalu, impian itu benar-benar berjaya diterjemahkan. Kelab muda ini berjaya mendominasi secara total arena bola sepak Malaysia dan dikenali sebagai antara kelab paling berjaya dalam Asia!
Akhir penulisan, JDT bukan sekadar sebuah kelab bola sepak. Pada malam menjulang kejuaraan kelapan, satu apresiasi keatas wira-wira negara apabila DYAM Tunku Mahkota Johor berkenan memberi sumbangan kurnia wang kemenangan JDT berjumlah RM Satu Juta kepada seluruh petugas barisan hadapan seluruh negara.
Terima kasih Tunku! Terima kasih atas kurniaan terindah ini!
Galeri Foto: Ezreen Abd Talip & Hazri Sharani
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.