SYARIKAT ANTARABANGSA MANAKAH YANG BAKAL MENJALIN KERJASAMA DENGAN JDT

Johor Darul Ta’zim sekali lagi mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan apabila dikhabarkan bakal menerima tajaan bernilai jutaan dolar Amerika menerusi kerjasama dengan sebuah syarikat antarabangsa.

Menurut laman sosial rasmi kelab, JDT mengumumkan pemiliknya, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sendiri yang akan membuat pengumuman dalam tempoh terdekat sekaligus menimbulkan rasa teruja di kalangan para penyokong.

Syarikat itu juga dikatakan mempunyai kaitan dengan banyak kelab bola sepak di seluruh dunia. Banyak nama syarikat yang sudah disebut-sebut netizen menerusi ruangan komen di laman-laman sosial rasmi.

Kerjasama penajaan JDT dengan syarikat terkemuka dunia bukanlah perkara baharu dengan kerjasama dengan Nike, Subway, Hublot, UNICEF dan Aston Martin Racing yang meletakkan jenama JDT gah di persada bola sepak negara dan juga Asia.

Jenama JDT yang kukuh dengan fasiliti kelas dunia yang dimiliki menjadi antara sebab syarikat-syarikat ini berani menaja JDT selain sosok DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sendiri yang sememangnya menyakinkan para pelabur.

Dikala ada beberapa pasukan Liga Malaysia gagal melunaskan gaji pemain, JDT yang dalam misi mempertahankan Piala Malaysia semakin mengorak langkah kehadapan.

Apa yang pasti, menerusi penajaan jutaan dolar Amerika ini, JDT tidak akan berdepan sebarang masalah kewangan dan pembinaan pusat latihan bersepadu baharu mereka pastinya akan menjadi mercu tanda baharu kelab.

Setelah menjadi kelab bola sepak keempat di dunia yang menjalin kerjasama dengan UNICEF, kini JDT bakal membuat kerjasama dengan pemain industri yang pastinya bukan calang-calang.

Syarikat gergasi antarabangsa manakah yang bakal diumumkan sebagai rakan kerjasama baharu JDT. Mengenali JDT, mereka pastinya akan melakukan pengumuman dengan gaya berkelas tinggi.

Sama-sama kita nantikan kejutan terbaharu yang bakal dilakukan oleh JDT. Sememangnya JDT semakin jauh dihadapan dan perlu menjadi contoh pasukan lain tentang bagaimana menjadikan bola sepak sebagai perniagaan.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply