Perlawanan Kedua Pusingan 16 Piala Malaysia 2023 antara Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kelantan FC hari ini berkemungkinan menyaksikan Harimau Selatan memperolehi gol ke-100 musim ini dalam semua pertandingan.
Sejak memulakan kempen Liga Malaysia pada Februari, JDT sudah menjaringkan 79 gol dalam saingan Liga Super, 14 dalam Piala FA yang mana barisan Esteban Solari muncul juara dan kini sudah menjaringkan lima gol dalam saingan Piala Malaysia.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan 98 jaringan sudah dihasilkan dan gol kedua yang dapat dijaringkan pada aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim bakal menjadi gol ke-100 musim ini.
Tambah menarik, JDT tidak hanya bergantung kepada seorang pemain sahaja untuk menjadi peledak sebaliknya 20 pemain telah menjaringkan gol dengan Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva masing-masing berkongsi 18 jaringan sebagai penjaring terbanyak setakat ini.
61 jaringan dihasilkan menerusi gandingan pemain penyerang dengan 24 dari barisan tengah manakala 10 gol lagi disumbangkan oleh barisan pertahanan dan tiga gol dijaringkan sendiri oleh pasukan lawan.
Menurut statistik pula, JDT lebih berbahaya pada babak kedua dengan 55 gol dihasilkan manakala 43 gol lagi dijaringkan pada babak pertama sekaligus membuktikan intensiti tinggi dan kemahuan menjaringkan gol yang tinggi dari para pemain.
Jadi siapakah yang bakal memahat nama sebagai penjaring gol ke-100 musim ini buat JDT? Ayuh ke stadium untuk sama-sama menjadi saksi satu lagi sejarah gemilang buat Harimau Selatan.