Melihat kepada kesebelasan utama JDT menentang Kelantan semalam terdapat banyak perubahan dilakukan oleh Ketua Jurulatih, Benjamin Mora namun keputusannya tetap sama — JDT menang bergaya.
Ketika sudahpun mengesahkan tempat ke suku akhir, JDT hanya perlukan satu lagi kemenangan untuk mencipta rekod baharu kelab apabila berjaya memenangi kesemua perlawanan peringkat kumpulan untuk unggul dengan 18 mata.
Ini adalah kali pertama JDT berjaya memenangi kesemua perlawanan kumpulan sejak 2013 dan mempunyai margin terbesar — 10 mata berbanding pencabar terdekat.
Kini menjelang aksi suku akhir menentang Kedah — lawan sama di final 2019, penyokong JDT pastinya boleh tersenyum kerana melihat sendiri bagaimana tiga penjaring baharu berjaya meledak gol.
Syafiq Ahmad kembali menemui sentuhan jaringan dan menyambutnya dengan sujud syukur manakala Guilherme De Paula berjaya membuka akaun jaringan di JDT. Apa yang lebih menarik, bekas rakan sepasukan di Perak, Shahrul Saad juga berjaya menjaringkan gol pada minit terakhir.
Tanpa Bergson, JDT dilihat masih selesa dengan siapa-siapa pun yang diberikan peluang bermain akan memberikan persembahan terbaik mereka untuk memberikan kemenangan dan kegembiraan buat penyokong JDT.
21 pemain berjaya menjaringkan kesemua 67 gol buat JDT setakat ini dan ini adalah angka yang baik dengan jelas pasukan tidak bergantung harap kepada penyerang tunggal untuk melakukan tugas menjaringkan gol.
Intensiti tinggi ketika latihan menjadikan kesemua pemain menunjukkan kesungguhan untuk dipilih sebagai kesebelasan utama dan ini adalah masalah yang baik buat barisan kejurulatihan JDT.
Pertukaran posisi dari 4-4-3 ke 3-4-3 dilihat tidak memberikan kesan kepada para pemain yang cepat mengadaptasi dengan Azrif Nasrulhaq kini bukan lagi bermain sebagai pertahanan kiri sebaliknya bertindak sebagai pemain sayap bertahan.
JDT juga bermain corak permainan menyerang tanpa henti dan akhirnya pasukan lawan dihukum selepas keletihan dan mula bermain dengan kasar hingga banyak memberikan sepakan percuma dan juga penalti.
Kini tumpuan terarah kepada pusingan suku akhir. Kedah bukanlah lawan yang mudah tetapi kita sebagai penyokong pastinya yakin akan kemampuan barisan merah biru kesayangan kita ini.
18 November ini, ayuh penuhkan Stadium Sultan Ibrahim. Remaja yang lengkap divaksinasi kini sudah boleh hadir ke stadium. Ayuh semua penyokong, mari berikan gegaran kepada Lang Merah tetapi sebelum itu, ada tugas berat menanti di Darul Aman. Selamat maju jaya JDT.
Luaskan Kuasamu Johor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.