SEMUA BOLEH JADI SEPERTI JDT TETAPI TIADA SIAPA BOLEH JADI SEPERTI TMJ

Mungkin tajuk ini kedengaran angkuh tetapi itulah hakikatnya yang berlaku dalam senario bola sepak di Malaysia ini. Semua pasukan menjadikan JDT sebagai penanda aras namun mereka tiada individu sehebat DYAM Tunku Mahkota Johor.

Penyokong JDT juga harus menerima hakikat bahawa tanpa TMJ bola sepak Johor tidak akan pergi sejauh ini dan kita tidak akan bermimpi untuk memenangi piala atau mempunyai segala apa yang diimpikan setiap pasukan di Malaysia ini.

Pasukan-pasukan lain baik yang lama mahupun yang ditransformasi dan diambil alih berlumba-lumba untuk menjadi seperti JDT. Dahulu segala perubahan yang dilakukan JDT dicemuh malah kini semuanya menjadi ikutan.

Dari media sosial ke kemudahan di stadium menjadi ikutan, namun mereka tidak mempunyai ketua yang bagus dan masih terikat dengan kancah politik yang menggunakan bola sepak sebagai platform meraih undi dan sokongan peribadi.

Ramai juga yang berkata TMJ punya duit berkoyan namun isunya adalah bagaimana wang itu digunakan untuk kebaikan kelab. JDT adalah satu-satunya pasukan yang tidak langsung menggunakan dana kerajaan untuk pembangunan bola sepak.

 

TMJ bijak mengatur strategi kewangan dengan membawa masuk penaja yang antaranya adalah pelabur-pelabur luar di negeri Johor. Kerjasama baginda bersama kelab-kelab terkemuka juga dilakukan untuk menaikkan nilai kelab JDT sehingga menjadi tarikan kepada penaja.

TMJ juga bijak meletakkan orang yang betul untuk menjalankan segala tugasan dalam pasukan. Mereka yang benar-benar fasih dalam bahasa bola sepak moden dibawa masuk untuk membantu perjalanan kelab disamping dapat mengajar bakat tempatan yang tidak kurang hebatnya.

Sikap ‘hands on’ Baginda juga menyebabkan mereka yang berada disekelilingnya tidak mudah berasa selesa kerana desakan beliau yang mahukan yang terbaik dari pelaburan yang dikeluarkan.

Pasukan lain cuba meniru tetapi sayangnya ada mereka yang mempunyai presiden yang culas dan tidak faham erti bola sepak dan akhirnya impian besar mereka menjadi beban kewangan kerana salah urus tadbir dan perancangan yang tidak jelas seperti yang terjadi kepada pasukan Perlis dan Felda United.

 

Memiliki kelab bola sepak adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan oleh seseorang. Tetapi ingat, anda perlu tahu selok belok pengurusan bola sepak dan bukannya hanya melaburkan wang sahaja. Anda harus berada bersama pasukan dalam semua aspek pengurusan luar dan dalam padang.

Sebab itulah saya katakan bahawa semua pasukan boleh menjadi JDT tetapi untuk menjadi TMJ yang mempunyai ‘100% passion’ kepada bola sepak, bukanlah perkara yang mudah. Oleh itu tepuk dada tanya selera dan ukurlah baju di badan sendiri.

Foto: Ezreen Abd Talip & Nizam Rahman – www.asiana.my

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply