Kempen Piala Malaysia 2021 kembali bersambung minggu hadapan dengan Sang Badak bakal menjadi medan pertarungan sang Harimau Selatan yang terbaharu.
Berkunjung ke laman lawan selepas sebulan tidak beraksi bukanlah tugas yang mudah tetapi semangat harimau yang sentiasa ada dalam diri setiap pemain pastinya akan mengatasi segala gerun.
Kandang Sang Badak juga pastinya akan penuh dengan penyokong yang sememangnya sudah dahagakan aksi bola sepak di hadapan mata. Kedatangan juara dari selatan pastinya dianggap bonus buat semua peminat.
Tetapi di kem JDT, segalanya aman dan terkendali dan kini seolah-olah mendapat pula tonik terbaharu apabila Raja Harimau sudah kembali pulih selepas tercedera sedikit dilanda pandemik yang mendunia.
Setelah berehat hampir dua minggu, Raja Harimau kini sudah kembali sedia menggegar dunia bola sepak tempatan yang nyata sunyi tanpa usikan dan gurauan nakal Raja Harimau. Sesungguhnya bola sepak tempatan merindui kelibat Raja Harimau ini.
Ditambah pula dengan hari ulang tahun perkahwinan yang menambah ceria Raja Harimau, pastinya sang ketua mahukan aksi yang baik dari semua harimau selatan untuk menguntum senyum yang lebih lebar.
Empat perlawanan dalam 10 hari bukanlah alasan untuk Harimau Selatan beraksi kurang baik tetapi yakinlah barisan terbaik sudah disediakan dengan pengganti yang terbaik juga sudah dikenalpasti sekiranya Harimau Utama tidak boleh dipertaruhkan.
Penyokong Harimau Selatan perlu menunggu sedikit lama untuk kembali ke kandang keramat kita. Tetapi usah gusar, tanggal 2 November bakal menjadi detik kembalinya ekor Harimau Selatan menyambut Sang Badak sebagai tetamu.
Ayuh semua penyokong, mari kita menyokong Harimau Selatan secara langsung di stadium. Fasa 4 di bumi Jauhar memastikan sekurang-kurangnya 15,000 penyokong dibenarkan hadir ke stadium.
Berikan Harimau Selatan gegaran yang sudah lama dirindui dan pastikan Sang Badak terkedu langkahnya mendengar sorakan yang tiada tolok bandingnya. Luaskan Kuasamu Johor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.