Di sini saya tampil untuk meluahkan isi hati saya sebagai penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Saya adalah rakyat marhaen yang bekerja biasa-biasa tetapi hati saya setia kepada kelab kesayangan saya ini.
Keadaan kewangan yang kukuh bukanlah sinonim dengan saya. Namun begitu saya tidak kisah untuk membelanjakan hampir RM1,000 setahun bagi memastikan saya dapat menyumbang kepada kelab.
RM1,000 ini adalah pelaburan saya kepada kelab dengan memiliki pas bermusim Gold berharga RM800 serta membeli sehelai jersi home original bernilai RM185 tanpa gagal sejak tahun 2016. Ini tidak lagi termasuk pembelian pelbagai cenderahati rasmi kelab.
Dengan gaji yang saya perolehi, saya kumpul sedikit demi sedikit bagi memastikan niat murni saya ini tercapai. Saya akan hadir sekerap mungkin ke perlawanan di tempat sendiri dan jika berkesempatan saya akan menyokong pasukan di tempat lawan.
Melabur RM1,000 bagi golongan B40 seperti saya ini dirasakan sangat besar. Namun, apabila melihat kepada apa yang saya perolehi semula daripada kelab, perasaan berbaloi itu muncul dan tidak pernah timbul rasa yang boleh dikesalkan. Bak kata pepatah menang membeli menang memakai.
Tahun lalu saya murung seketika apabila mengenangkan pelaburan ke atas pas bermusim tidak membawa makna apabila perlawanan terpaksa dilangsungkan tanpa penonton ekoran penularan pandemik Covid-19. Terseksa jiwa dan raga saya ini apabila hanya menonton perlawanan di telefon bimbit sahaja.
Tetapi seperti yang saya katakan tadi, kelab JDT ini sentiasa memastikan penyokong mereka dijaga dan akhirnya mereka mengumumkan bahawa pas bermusim 2020 boleh dibawa ke tahun 2021 tanpa tambahan bayaran. Syukur Alhamdulillah. Nikmat apa lagi yang saya hendak dustakan.
Dan akhirnya pada 2 April 2021 pelaburan saya kembali berbaloi apabila berkesempatan menyaksikan kemenangan bergaya JDT ke atas Melaka United di Stadium Sultan Ibrahim. Rasa teruja bukan kepalang dapat kembali ke stadium selepas setahun hinggakan saya tersenyum sendirian semasa menunggang motosikal sepanjang perjalanan ke stadium.
Ramai yang marah mengapa hanya pemegang pas bermusim sahaja yang dibenarkan masuk tetapi inilah kelebihan yang diperolehi oleh mereka yang telah melaburkan wang mereka kepada kelab. Kelab membalas semula jasa mereka dengan memberikan ‘priority’ dan perasaan menjadi VIP. Hahaha. Terima kasih TMJ, terima kasih JDT.
Sebaik melangkah masuk ke dalam Stadium Sultan Ibrahim, rasa bangga dan berbaloi kembali menyesakkan dada apabila melihat stadium yang terjaga rapi serta padang yang menghijau umpama karpet. Pelbagai kemudahan juga ditambah baik sehinggakan pengalaman menonton menjadi lebih baik.
Di dalam hati saya terdetik bahawa walaupun sedikit tetapi pelaburan saya ini tetap berjaya membantu kelab untuk memulihara stadium ini dan menggembirakan para penyokong yang dianggap seperti pemegang saham terbesar kelab. Puas hati dan menambah lagi kuntuman senyum di bibir.
Kepada semua penyokong di luar sana, ayuh kita bantu kelab kebanggaan kita ini dengan membuat sedikit pelaburan dalam bentuk pembelian pas bermusim dan jersi asli kelab. Kita sering meminta bermacam – macam perkara dari kelab tetapi apakah pula sumbangan kita kepada kelab. Inilah maksud penyokong dan FC yang sebenar.
Sabtu ini, saya telah bersedia untuk kembali ke stadium dan memberikan sokongan sepenuh hati kepada JDT. Apa lah sangat pelaburan RM1,000 jika hendak dibandingkan dengan apa yang saya perolehi semula dari kelab sama ada di dalam padang mahupun di luar padang. JDT sentiasa terbaik. Luaskan Kuasamu Johor.
Fendi Tahir – Segamat
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.