Kehidupan penyokong bola sepak berubah 360 darjah sejak dunia dilanda pandemik Covid-19 ini. Bola sepak hanya dapat ditonton menerusi siaran langsung dan stadium sunyi sepi tanpa penyokong.
Kerinduan menonton bola sepak di stadium bertambah meluap-luap apabila menyaksikan kejohanan bola sepak Eropah dan juga liga-liga di sana disaksikan oleh puluhan ribu penyokong di stadium.
Kini selepas negara kita sudah mencapai tahap vaksinasi dewasa melebihi 90%, pelbagai kelonggaran diberikan pihak berwajib dan kehidupan normal seperti dahulu semakin kita nikmati semula perlahan-lahan.
Hujung minggu ini, jualan tiket untuk perlawanan Piala Malaysia menentang Sabah bakal dibuka dan kepada para penyokong Harimau Selatan yang sebelum ini sentiasa menyebut rindu akan JDT dan Stadium Sultan Ibrahim, ayuh dapatkan tiket anda.
Terjemahkan rasa rindu itu kepada perbuatan. Dapatkan tiket, patuhi SOP dan bergembira dengan aksi yang bakal disajikan pasukan kesayangan kita itu. Mereka juga merindui sorakan daripada para penyokong yang setia.
Bagi pemegang pas bermusim pula, apa lagi alasan yang mahu diberikan. Kemasukan percuma telah diberikan. Anda hanya perlu hadir, patuhi SOP dan menikmati malam indah anda sebagai penyokong JDT dan mungkin dihidangkan dengan Bergshow yang sebelum ini hanya ditonton di skrin masing-masing.
Jika kesemua 17,500 kapasiti yang dibenarkan ini penuh, maka satu atmosfera riuh rendah akan tercipta dan pastinya menghadirkan gerun kepada pasukan pelawat.
Boys of Straits sudah pasti tidak sabar hendak beraksi malam itu. Segala persiapan dari unit tifo, unit drumline, unit panji sudah turun berlatih dan semua komrad pastinya akan memberikan sepenuh jiwa mereka sebagai pemain ke-12 Harimau Selatan.
Dalam pada itu, jangan pula kita lupa bahawa pada Jumaat ini, JDT bakal berhadapan lawan sama di Likas. Teruskan sokongan sebelum kita sambut tetamu dengan sorakan keramat kita.
Apa yang penting, sila pastikan anda semua mematuhi arahan marshal dan mempunyai disiplin kendiri yang terbaik. Jika tidak sihat atau belum lengkap divaksinasi, jangan datang ke stadium.
Kita tidak mahu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Sekali lagi kepada yang sebelum ini rindu, buktikan dengan perbuatan. Ayuh semua penyokong, satukan hatimu, tinggikan sorakanmu demi Johor Darul Ta’zim.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.