Sejak dahulu lagi. Sejak bertahun-tahun dulu lagi. Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) begitu sinonim dengan gerak langkah dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Berbuat baik kepada semua orang, kerana berbuat baik adalah sebaik-baik peninggalan”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Ini terbukti dengan pelbagai sumbangan yang telah diberikan seperti sumbangan kepada mangsa bencana alam, pembangunan masjid, anak-anak yatim dan juga kepada individu-individu yang kurang bernasib baik.
Ini adalah kerana kepekaan atas tanggungjawab sosial yang telah diadun oleh DYAM Tunku Mahkota Johor sendiri kepada setiap individu yang ada dalam organisasi Harimau Selatan.
Bukan untuk mengungkit. Tetapi hanya itu mengimbas cerita dahulu. Kerana dengan mengimbas kisah-kisah dahulu, kita akan sedar segala yang telah kita terlupa.
Sesungguhnya segala kebajikan dan tanggungjawab yang dilakukan dalam situasi terkini bukanlah hanya mengikut trend atau populariti tetapi ianya kerana desakan kesedaran yang kuat dalam keprihatinan membina hubungan erat, perkongsian rezeki, muafakat, saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.
“Dua ribu empat belas”
Masih segar dalam ingatan. Pada sekitar bulan disember dua ribu empat belas. Satu bencana banjir telah melanda negeri-negeri pantai timur Malaysia ketika itu. Puluhan ribu mangsa terbabit dalam bencana tersebut. Persiapan barangan sekolah, buku-buku antara material yang musnah dan perlu bantuan segera memandangkan musim baharu persekolahan akan bermula selang beberapa minggu lagi.
DYAM Tunku Mahkota Johor yang mana ketika itu masih bergelar Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor telah berbesar hati memberi sumbangan derma kepada SUK Johor, Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk meringankan beban mangsa-mangsa yang terlibat dengan banjir di setiap negeri tersebut.
“Dua ribu lima belas”
Kita bawa ke tahun dua ribu lima belas. Ketika itu satu tragedi gempa bumi berukuran 6.0 skala richter berlaku di sekitar Ranau, Sabah pada jam 7.15 pagi, hari Jumaat 5 Jun 2015. Pusat Gempa Bumi Dan Tsunami Nasional melaporkan gegaran dirasai di kebanyakan tempat di negeri tersebut. Bangunan seperti sekolah, kuarters guru antara yang terjejas teruk.
Manakala jalan raya dan penghubung ke tempat-tempat utama juga menerima impak yang sama. Atas keprihatinan tersebut, DYAM Tunku Mahkota Johor telah menyerahkan sumbangan melalui PBNJ sebanyak RM150,000.00.
“Dua ribu enam belas”
Sekitar tahun dua ribu enam belas. Bencana kebakaran yang berlaku di Hospital Sultanah Aminah telah mengejutkan banyak pihak. DYAM Tunku Mahkota Johor, pemain, staff Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juga anggota Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) turut tidak terkecuali tampil untuk menghulurkan bantuan sumbangan.
Pada tahun itu juga, sebelum menjelang Aidilfitri pada tahun itu, ada diantara pemain-pemain dari beberapa pasukan dalam Malaysia telah dilaporkan mengalami masalah tunggakan gaji yang tidak berbayar dan tidak diselesaikan secara serius oleh pasukan yang mereka wakili.
DYAM Tunku Mahkota Johor amat khuatir malah peka masalah yang mereka hadapi memandangkan hari raya semakin dekat. Atas keprihatinan tersebut, baginda telah bertindak menghulurkan sumbangan hari raya kepada pemain-pemain yang mengalami masalah tunggakan gaji. Sumbangan itu diserahkan melalui PFAM.
“Dua ribu tujuh belas”
Hujan luar jangkaan dengan kuantiti yang banyak ditambah dengan kemuncak air pasang menjadi faktor utama banjir melanda Pulau Pinang pada November dua ribu enam belas. Bencana ini melanda negeri tersebut selama beberapa hari.
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah berbesar hati bertindak memberi sumbangan untuk mangsa bencana banjir di Pulau Pinang. Sumbangan itu telah disampaikan secara terus kepada YB Dato’ Seri Farizan Bin Darus, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 12 November 2017.
“Dua ribu lapan belas”
Tahun demi tahun terus berlalu. Namun misi DYAM Tunku Mahkota Johor untuk terus membantu golongan-golongan kurang bernasib baik ini terus progresif.
Masih ingat JDT All-Stars Friendly? Menerusi perlawanan amal ‘JDT All-Stars Friendly’, JDT telah berjaya menyumbang lebih RM600,000 kepada beberapa badan amal. Semua kutipan dari perlawanan tersebut didermakan kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia dan ‘Women’s Aid Organization.
Paling menarik, tambahan sebanyak RM80,000 dari pengurusan dan pemain JDT turut disumbangkan sebagai tanda prihatin mereka. Sumbangan-sumbangan tersebut telah banyak membantu dalam meringankan bebanan yang telah mereka hadapi.
“Dua ribu sembilan belas”
Harimau Kudung. Selama ini tiada seorang pun sedar. Baik pakar bola sepak, baik pengkritik hebat bola sepak mahupun lagenda bola sepak tanah air tentang kewujudan pasukan ini jika tidak ditonjolkan oleh DYAM Tunku Mahkota Johor.
Pada tahun tersebut baginda berkenan menjemput pasukan itu datang ke Johor Baharu. Baginda juga berbesar hati menderma RM20,000 kepada skuad Harimau Kudung dan memberi kata-kata semangat agar mereka berjaya layak ke Piala Dunia Kudung Tahun 2022.
Pada dua ribu sembilan belas juga, JDT juga dengan kerjasama Liridon Krasniqi telah menyumbangkan bantuan kepada mangsa gempa bumi di Albania.
Akhir kata, ini adalah antara sumbangan yang telah diselektif. Banyak lagi yang tidak dinyatakan seperti bantuan kepada kanak-kanak OKU, pembinaan masjid di New Zealand dan banyak lagi.
Kontradiksinya, segala yang disumbangkan hari ini, segala kepekaan hari ini, segala keprihatinan hari ini yang dibuat oleh DYAM Tunku Mahkota Johor dan Organisasi bukan sesuatu perkara baharu.
Sesungguhnya kita adalah satu.
“Saya bukan ahli politik tetapi saya juga ada agenda saya sendiri dan agenda saya adalah untuk kedaulatan negeri Johor dan kesejahteraan rakyat”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.