Previu Unifi Piala Malaysia 2018
Oleh: Firdaus Johari
Setelah tamat undian peringkat kumpulan Unifi Piala Malaysia 2018, JDT dilihat tidak akan menghadapi masalah untuk layak ke pusingan suku akhir sekali lagi.
Sebagai juara bertahan, JDT diundi bersama juara Piala Malaysia 2015, Kedah serta juara Piala Malaysia 2012, Kelantan. Manakala pendatang baharu Piala Malaysia, MIFA FC melengkapkan senarai pasukan di dalam Kumpulan C.
Di atas kertas JDT seharusnya mudah menjadi juara kumpulan dengan tentangan mungkin hanya hadir daripada pasukan Kedah. Namun begitu JDT sering bergelut dalam aksi peringkat piala berbanding dalam aksi liga.
Tiga kemenangan di laman sendiri dan mengelak kekalahan di laman lawan adalah formula terbaik untuk menjadi juara kumpulan. Perkara ini harus ditanam sebagai filosofi pasukan sepanjang kempen Piala Malaysia ini.
MIFA mungkin dianggap sebagai lawan yang mudah namun MIFA mampu melakukan kejutan kerana mereka dilatih oleh K Devan yang pernah menjuarai Piala Malaysia sebelum ini. Mungkin mereka sukar bermain di Larkin tetapi sebaliknya di Petaling Jaya.
JDT perlu berkunjung ke Lembah Klang untuk bertemu MIFA. Semua maklum Lembah Klang merupakan badi utama JDT sejak sekian lama. Jarang JDT dapat pulang dengan mata penuh apabila bertandang ke stadium-stadium di sini.
Kedah dilihat masih bergelut dengan masalah prestasi. Mereka juga akan kehilangan ramai pemain kerana terlibat dalam tugasan negara di Sukan Asia. Ianya mungkin menyukarkan mereka di Larkin tetapi aura Darul Aman tidak harus dipandang enteng.
Kelantan pasti ingin membuktikan kehadiran mereka di Piala Malaysia ini bukanlah sekadar pelengkap jadual. Pemain-pemain muda mereka sudah pasti ingin menjual diri mereka dengan mempamerkan permainan yang mantap dan memukau.
Bekas pemain JDT2, Shafiq “macha” Shahrudin sudah tentu mahu meneruskan rentak cemerlang beliau yang muncul penjaring terbanyak skuad The Red Warriors itu. Kelantan juga pasti bergelut di Larkin tetapi mereka cukup bagus di Kota Bharu.
JDT juga bakal kehilangan Safawi Rasid yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan namun untuk pasukan sehebat JDT, perkara ini pasti tidak akan merencatkan persiapan pasukan kerana bakat lain mampu menampung kekosongan yang ditinggalkan Safawi.
Adakah JDT akan mempertahankan Piala Malaysia? Sama-sama kita nantikan. Ayuh turun ke stadium memberikan sokongan yang padu kepada para pemain.
Luaskan Kuasamu Johor
Foto: www.asiana.my
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.