PENYOKONG JDT KUASAI KEHADIRAN TERTINGGI LIGA JUARA-JUARA AFC ELITE ZON TIMUR

Sesuatu yang cukup membanggakan buat semua penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila sentiasa berjaya memenuhkan Stadium Sultan Ibrahim tatkala ramai yang berpendapat Liga Malaysia semakin suram dengan kehadiran penyokong yang rendah.

Benar perkara itu terjadi di venue-venue lain tetapi ianya tidak berlaku di Johor apabila setiap perlawanan dipenuhi belasan hingga puluhan ribu penyokong tanpa mengira lawan, hari bekerja, waktu sepak mula dan tarikh perlawanan.

Segalanya di Johor pastinya akan dilakukan dengan skala yang lebih besar dan penyokong-penyokong Harimau Selatan membuktikan kita bukan hanya jagoan di peringkat domestik tetapi juga handal di kejohanan tertinggi kelab Asia.

Menjelang aksi penting bertemu Pohang Steelers pada 18 Februari nanti, ramai yang sudah tidak sabar untuk hadir malah dikhabarkan tiket laku umpama pisang goreng cicah kicap yang panas kerana masing-masing mahu menjadi sebahagian daripada sejarah kelab.

Hasil usaha keras yang ditunjangi Pemilik Kelab, DYAM Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor, JDT kini sedia menempa sejarah baharu layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC Elite dalam percubaan kali pertamanya.

Sejarah ini dijangka bakal disaksikan lebih 35,000 penyokong yang pastinya akan memberikan mimpi ngeri buat Pohang Steelers seperti mana nasib yang melanda Shanghai Shenhua, Ulsan HD dan Buriram United.

Apa yang membanggakan, kehadiran penyokong JDT di laman sendiri adalah yang tertinggi selepas berakhir 42 perlawanan dari tujuh ‘matchday’ peringkat liga Zon Timur dengan rekod 34,236 penyokong dicatatkan ketika berdepan Ulsan HD.

Tidak cukup dengan itu, dua lagi perlawanan menentang Buriram United dan Shanghai Shenhua masing-masing mencatatkan angka 31,687 dan 31,386 penyokong untuk menduduki tempat ketiga dan keempat keseluruhan.

Hanya penyokong Shandong Taishan berjaya mengatasi rekod kehadiran JDT di mana aksi mereka bertemu Gwangju FC mencatatkan kehadiran 32,867 orang penyokong untuk menduduki tempat kedua keseluruhan Asia Timur.

 

Jika dibandingkan juga dengan Zon Asia Barat yang dibarisi pemain-pemain ternama dunia seperti Cristiano Ronaldo dan Sadio Mane, kehadiran penyokong di Riyadh juga gagal mengatasi angka penyokong di Stadium Sultan Ibrahim sekaligus membuktikan betapa setianya kita menyokong Harimau Selatan.

Seperti yang kita semua maklum, bulan Februari adalah bulan JDT mencipta sejarah dengan sudah berjaya layak ke final Piala Malaysia dan kini mahu melangkah ke pentas lebih besar di Asia sebelum menutup bulan dengan muncul juara Liga Super musim 2024-25.

Mana kita dalam sejarah? Inilah peluang terbaik kita semua. Tidak perlu mencongak, tidak perlu berkira-kira, ayuh penuhkan Stadium Sultan Ibrahim untuk aksi terakhir ini dan tunjukkan pada dunia, ini Johor Darul Ta’zim.

Mari kita sama-sama mencipta satu lagi malam gemilang Asia di Iskandar Puteri. Luaskan Kuasamu Johor.