PENYOKONG JDT BUKTIKAN RAMADAN BUKAN PENGHALANG TURUN KE STADIUM

Penyokong bola sepak tempatan sering kali dikaitkan mempunyai banyak alasan untuk tidak turun ke stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan masing-masing.

Ramai yang hanya mula berpusu-pusu ke stadium jika pasukan layak ke peringkat separuh akhir dan akhir. Ini kerana magnitud perlawanan itu dianggap lebih besar dan boleh menjadi modal untuk dibanggakan di media sosial.

Antara alasan yang sering didengari adalah lawan pasukan kecil, tiket mahal, esok bekerja, esok anak bersekolah, bulan puasa, perlawanan lambat habis dan macam-macam lagi alasan yang lenyap ketika perlawanan akhir.

Namun satu perkara yang boleh dibanggakan oleh para penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) kali ini adalah kehadiran konsisten pada semua enam perlawanan sekaligus membuktikan bulan Ramadan bukanlah penghalang untuk turun ke stadium.

Kehadiran penyokong di Stadium Sultan Ibrahim mencatatkan purata sebanyak 14,753 untuk setiap perlawanan dengan keenam-enam perlawanan menyaksikan kehadiran puluhan ribu penyokong yang mahu menyaksikan JDT beraksi di pentas kelab terbaik Asia.

Ditambah dengan seruan dari pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, penyokong JDT membanjiri stadium tanpa mengira hari, waktu dan menolak segala alasan klise yang sering dilontarkan.

Selain dari sistem pas bermusim yang sememangnya popular di kalangan penyokong JDT, harga tiket yang murah untuk perlawanan kelas tinggi di stadium yang canggih juga dikira sebagai faktor utama kehadiran penyokong ke venue.

Bayangkan dengan serendah RM10 anda dapat menyaksikan aksi terbaik peringkat tertinggi Asia di stadium terbaik dunia tahun 2020. Berani dikatakan anda tidak akan dapat perkara ini di tempat lain. Hanya di JDT.

Perlawanan intensiti tinggi setiap tiga hari juga menggamit minat penyokong dan ianya adalah isyarat buat semua pasukan tempatan untuk meningkatkan mutu permainan masing-masing dan hasilnya stadium akan sentiasa penuh.

Penyokong JDT juga kini semakin popular di peringkat Asia kerana sokongan pada anda menjadikan Stadium Sultan Ibrahim sebagai gelanggang keramat Harimau Selatan hingga menimbulkan gerun kepada pihak lawan.

Tahniah penyokong JDT. Anda buktikan kesetiaan anda. Tahniah juga kepada yang menyokong dari jauh dan kini pentas 16 terbaik Asia menjadi milik kita. Sama-sama kita cipta sejarah.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply