Hangat diperkatakan oleh netizen tentang keadaan permukaan padang yang kurang memuaskan di Stadium Larkin ketika perlawanan JDT II dan Kelantan tempoh hari.
Serangan dari netizen kepada pengurusan dan juga pasukan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah perkara biasa dan sudah boleh diramal. Tetapi bagaimana JDT bangkit dari kritikan itu yang perlu diberikan perhatian.
Meminjam dialog dari filem The Batman, “we want leaders not cheerleaders”, ianya sudah terbukti di JDT apabila tidak sampai tiga hari diperlukan untuk JDT membuat keputusan menaik taraf padang Stadium Larkin dari rumput cow grass ke Zeon Zoysia.
Tidak ada ‘red tape’, tidak ada penubuhan jawatankuasa diperlukan. Apa yang diperlukan hanyalah titah dari pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang sentiasa mahukan yang terbaik di JDT.
Bukan sahaja padang di Stadium Larkin yang ditukar tetapi juga Stadium Pasir Gudang serta Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam. Three in One terus bak kata orang putih.
Tanpa basa-basi, tindakan terus diambil dan selepas ini padang bendang akan menjadi sejarah sahaja dalam kamus bola sepak JDT dan kita perlu ke stadium lain untuk melihat padang bendang.
Pertukaran rumput ini bukan hanya memberikan kelebihan buat pasukan JDT malah pasukan pelawat yang berkunjung juga dapat merasakan betapa sedapnya bermain bola sepak di negeri Johor.
Tahniah TMJ dan tahniah pengurusan JDT dalam tindakan yang pantas ini. Sekali lagi anda membuktikan bahawa JDT sememangnya berada pada kelas yang tersendiri. Luaskan Kuasamu Johor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.