12 Mac 2019 adalah tarikh bersejarah buat penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila buat julung kalinya dapat menyaksikan sendiri perlawanan Liga Juara-Juara AFC yang bakal berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.
Anneyong Haseyo diucapkan kepada oppa-oppa Gyeongnam FC yang bakal menjadi lawan kepada JDT. Mereka sudah pun tiba di Johor Bahru sejak Ahad lalu sesuai dengan syarat AFC dan juga untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di sini.
Jika sebelum ini JDT diuji bermain dengan cuaca yang sejuk kini wakil Republik Korea ini pula akan diuji ketahanan mereka bermain pada suhu purata 28-32 darjah selsius. Bagi pemain bola sepak profesional ini adalah cabaran yang biasa bagi mereka tetapi faktor cuaca panas tetap akan menjadi penghalang buat Gyeongnam FC mengutip mata penuh.
Buat JDT, kelebihan beraksi di Larkin sudah pasti akan digunakan sebaik mungkin untuk sekali lagi memperaga aksi terbaik setelah berjaya mengekang asakan Kashima Antlers minggu lalu.
Penyokong JDT dan Boys Of Straits pasti sudah bersedia untuk memberikan sokongan terbaik yang pernah dilihat oleh Asia dan inilah medan untuk penyokong JDT meletakkan diri mereka setaraf dengan penyokong-penyokong fanatik yang lain.
Jika di Eropah pasukan-pasukan tradisi mempunyai ‘Magic of European Nights’, kita juga perlu buktikan bahawa ‘Magic of Larkin’ akan membawa keputusan positif kepada JDT. Apa jua keputusan tidak penting kerana JDT masih diperingkat ‘learning curve’ di ACL.
Ayuh semua penyokong Johor. Gegarkan Larkin. Ingat satu penyokong satu bendera dan kita pastikan rentak tarian oppa-oppa K-pop tersekat di atas padang. Dengan sokongan padu anda pasti akan membakar semangat pemain JDT.
Luaskan Kuasamu Johor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.