Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah sebuah kelab yang mempunyai visi dan misi yang jelas baik di dalam padang mahupun di luar padang. Semuanya disampaikan secara jelas kepada para penyokong oleh pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Terbaharu berita mengenai skuad pembangunan JDT menarik minat penyokong dan seperti biasa, TMJ tidak pernah lekang dengan kejutan demi kejutan kepada kita semua.
Menerusi Instagram Live TMJ bersama pengacara Astro Arena, Baginda ada menyatakan bahawa kini sudah mula ada perbincangan untuk meletakkan skuad JDT III bertanding di Liga Singapura. Ini adalah berita yang sangat bagus demi masa depan JDT dan pemain skuad pembangunan.
Kepada yang tidak tahu, Liga Singapura atau lebih dikenali sebagai S-League adalah antara liga yang kompetitif di rantau Asia Tenggara. Liga ini banyak menghasilkan pemain Singapura yang berkualiti dengan ramai daripada mereka bermain di Liga Malaysia.
JDT sendiri pernah mengimport tiga pemain terbaik Singapura iaitu Baihakki Khaizan, Shahril Ishak dan juga Hariss Harun. Mereka bertiga bukan hanya mengisi kuota Asean tetapi tampil dengan persembahan cemerlang dan kesemua mereka pernah memakai lilitan kapten sekaligus menunjukkan kualiti mereka sebagai pemain.
Walaupun hanya disertai lapan pasukan tempatan dan dua pasukan jemputan dari Jepun dan Brunei, Liga Singapura mampu memberikan cabaran kepada skuad muda JDT untuk lebih maju dan mendapat pendedahan antarabangsa dari peringkat usia yang muda.
Selain itu, ia juga akan menjadi medan terbaik buat skuad bawah 19 dan 23 negara kerana mereka akan beraksi pada tahap tertinggi dan akan bertemu seteru utama mereka iaitu skuad Young Lions yang sudah lama bermain di Liga Singapura.
Kelab jemputan dari Jepun dan Brunei, Albirex Niigata dan DPMM FC sering muncul sebagai juara liga dan pendedahan seperti ini yang diperlukan oleh pemain muda ini untuk menyiapkan mereka menyertai skuad utama JDT pada masa akan datang.
Dengan ‘blueprint’ JDT yang menerapkan corak permainan yang sama bermula dari skuad utama hingga ke pasukan junior, JDT III dianggap bertuah jika perkara ini menjadi kenyataan dan sememangnya ianya sangat mengujakan para penyokong setia JDT.
Ditambah pula dengan pusat latihan baharu yang serba canggih berhadapan Stadium Sultan Ibrahim, skuad pembangunan JDT kini berada di landasan yang tepat untuk berjaya dan masa depan JDT kelihatan sangat cerah.
Inilah yang perlu dilakukan oleh semua kelab bagi memastikan kelansungan bola sepak negara dengan menghasilkan pemain muda berbakat yang bukan hanya berkualiti tetapi mempunyai pendedahan antarabangsa seawal yang mungkin.
Luaskan Kuasamu Johor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.