Riuh di media massa dan media sosial apabila pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor memuat naik hantaran di laman Instagram Baginda mengenai ‘hadiah terakhir’ buat kelab.
Hantaran yang dibuat Baginda selepas JDT menayangkan kepada dunia rekaan tiga dimensi Pusat Latihan Bersepadu JDT yang baharu itu dilihat mengganggu tidur penyokong JDT dan peminat bola sepak tempatan.
Dianggap sebagai peneraju kemajuan dan kejayaan JDT, kehilangan khidmat DYAM TMJ dalam kelab pastinya akan dirasai kerana apa yang telah dilakukan Baginda kepada kelab tidak mungkin dapat diulangi oleh sesiapa pun.
Tetapi ini adalah interpretasi dari Harimau Selatan tentang apa yang diperkatakan oleh Baginda. Ini adalah pendapat peribadi dan hanya tertumpu kepada senario bola sepak Johor Darul Ta’zim.
Imbas kembali sebelum tahun 2013, tiada siapa yang berbangga dan mahu bercerita tentang pasukan bola sepak Johor. Berita yang dilaporkan hanyalah kekalahan demi kekalahan dan kontroversi rasuah yang melanda pasukan ketika itu.
Tetapi segalanya berubah dalam tempoh kurang dari 10 tahun. Kini segalanya tentang JDT adalah kebanggaan dan berita baik. Media massa dan portal-portal sering menggunakan nama JDT bagi memastikan laman mereka mendapat ‘hit’ yang tinggi.
Oleh itu apa maksud ‘hadiah terakhir’ itu. Pada pendapat Harimau Selatan, pembinaan pusat latihan bersepadu yang canggih ini adalah kepingan terakhir dalam ‘jigsaw puzzle’ JDT dalam menjadi kelab bertaraf dunia.
Segalanya kini ada di JDT. Bermula dari stadium untuk semua pasukan JDT hingga kepada fasiliti kelas dunia, ibu pejabat kelab, bas pasukan, gimnasium, pusat latihan senior dan junior, penajaan korporat yang bukan calang-calang dan piala kejuaraan yang semakin tidak terhitung banyaknya.
Dengan adanya semua perkara ini, JDT sudah lengkap untuk menjadi kelab bola sepak bertaraf dunia dan selepas ini hanya perlu menumpukan perhatian untuk memantapkan lagi persembahan di atas padang.
Mungkin selepas ini apa yang boleh dilakukan oleh DYAM TMJ adalah menjual saham kelab dengan menerbitkan IPO dan menyenaraikan JDT di Bursa Malaysia dan ianya pasti memberi pulangan kewangan kepada kelab.
Apa jua yang dilakukan oleh DYAM TMJ dan JDT, ia pastinya akan menjadi pelopor dan berita kerana apa yang berlaku di JDT adalah perkara yang di atas normal sebuah kelab bola sepak di Malaysia.
Oleh itu kita sebagai penyokong harus tetap menyokong dan jangan mudah terpedaya dengan dakyah-dakyah yang dibawa oleh para pembenci JDT. Kita juga harus menghormati golongan ini kerana mereka lah yang akan menjadikan JDT lebih popular.
Harus diingat, segala publisiti adalah publisiti tanpa mengira baik atau buruk.
Kepada DYAM Tunku Mahkota Johor, kami menjunjung kasih atas segala usaha Tunku dalam menjadikan kelab ini satu kebanggaan buat kami. Ayuh sama-sama kita luaskan kuasa dengan lebih banyak kejayaan di masa akan datang.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.