LIGA BOLASEPAK MALAYSIA DIBUKA KEMBALI 15 OGOS 2020

KENYATAAN MEDIA MENTERI BELIA DAN SUKAN MALAYSIA PEMBUKAAN SEKTOR SUKAN DAN REKREASI FASA 3 & 4

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP pada 9 Julai 2020 telah membincangkan dan bersetuju dengan beberapa cadangan Kementerian Belia dan Sukan untuk pembukaan sektor sukan dan rekreasi fasa 3 dan fasa 4 seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini.

Mesyuarat telah bersetuju untuk membenarkan perkara-perkara seperti berikut:

(i) AKTIVITI SUKAN DAN REKREASI BERSENTUHAN FIZIKAL

(contact sports activity) seperti sukan berpasukan contoh: bola sepak, ragbi, hoki, sepak takraw, bola keranjang, skuasy dan sukan tempur – karate, silat, taekwondo, dsb boleh dimainkan bermula Rabu, 15 Julai 2020. Serentak dengan itu, pengusaha-pengusaha padang komersil, operator gelanggang futsal, fasiliti sukan dan akademi juga dibenarkan beroperasi semula bermula 15 Julai 2020; dan

(ii) PENGANJURAN KEJOHANAN & PERTANDINGAN TEMPATAN TANPA PENONTON

(local competition and tournament without spectator) untuk:

(a) Sukan tiada bersentuhan fizikal (non-contact sports) seperti sukan permotoran dan sukan individu bermula Rabu, 15 Julai 2020. Ini termasuklah Perlumbaan Permotoran di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan litar-litar tempatan yang lain, Kejohanan Badminton Perseorangan, Kejohanan Catur, dsb; dan

(b) Sukan bersentuhan fizikal (contact sports) untuk sukan berpasukan seperti bola sepak, ragbi, hoki, sepak takraw, bola keranjang, skuasy dibenarkan bermula Sabtu, 15 Ogos 2020. Contoh kejohanan / pertandingan sukan berpasukan seperti Liga Super & Liga Premier bola sepak (MFL), Liga Sepak Takraw (STL), Liga Hoki (MHL), Liga Ragbi (MRL), dll.

Pelaksanaan aktiviti sukan dan penganjuran kejohanan perlu diadakan dalam keadaan yang terkawal (controlled environment) oleh operator premis dan penganjur acara dengan SOP Am Pengurusan, SOP Am Pra-Penganjuran dan SOP Am Penganjuran yang perlu dipatuhi.

Terdapat dua belas (12) perkara penting SOP Am Individu yang perlu dipatuhi oleh setiap individu atlet, pemain dan peserta semasa melakukan aktiviti sukan dan rekreasi; dan dua puluh satu (21) perkara penting SOP Am Pengurusan yang perlu dipatuhi oleh setiap pengusaha / operator premis dan venue semasa mengendalikan fasiliti dan premis yang telah dibenarkan untuk beroperasi.

Terdapat juga sembilan (9) SOP Am Pra-Penganjuran yang amat penting dan sebelas (11) SOP Am Penganjuran yang juga perlu dipatuhi oleh pihak penganjur / pengurus acara sebelum dan sewaktu acara kejohanan / pertandingan berlangsung. SOP-SOP tersebut dilampirkan bersama dan akan juga dimuatnaik dalam laman web KBS untuk rujukan. Antaranya:-

(i) setiap peserta / pemain yang masuk perlu mendaftar aplikasi MySejahtera;
(ii) disaring suhu badan & gejala sakit;
(iii) kawalan bilangan petugas dan pengguna minima dan
mengikut sesi dan keluasan premis;
(iv) peralatan perlu dibersih / dinyahkuman selepas setiap
penggunaan; dan
(v) menggalakkan pengguna membuat tempahan /
pengesahan slot atas talian atau melalui telefon sebelum hadir ke premis / venue.
Penganjuran Kejohanan dan Pertandingan hanya terhad kepada acara /
kejohanan tempatan sahaja, tanpa penonton dan tidak melibatkan ‘mass gathering’ peserta. Penganjuran acara antarabangsa yang melibatkan peserta dari luar negara adalah tidak dibenarkan lagi buat masa ini.

Tarikh kuatkuasa 15 Ogos 2020, lebih satu bulan dari sekarang bagi permulaan penganjuran kejohanan dan pertandingan sukan bersentuhan fizikal adalah bertujuan bagi memberikan sedikit masa kepada pihak penganjur kejohanan / pertandingan seperti Malaysia Football League (MFL) dan juga penganjur acara kejohanan / pertandingan sukan yang lain untuk membuat perancangan dan persiapan yang rapi dari segi latihan yang mencukupi untuk atlet / peserta, penyusunan logistik, persediaan premis / venue, dan juga pematuhan kepada SOP.

DATO’ SRI REEZAL MERICAN BIN NAINA MERICAN – Menteri Belia Dan Sukan Malaysia

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply