Apalah bola sepak tanpa penyokong. Stadium jadi sunyi dan tiada jiwa hendak disampaikan kepada para pemain. Dengan kehadiran penyokong, sorakan-sorakan menjadi nadi kepada pasukan untuk beraksi lebih baik.
Stadium Sultan Ibrahim yang serba canggih sememangnya sebuah stadium yang dibina khas untuk perlawanan bola sepak. Tiada balapan, tiada halangan cuma hamparan padang hijau yang cantik saujana mata memandang.
Pengurusan JDT sentiasa memastikan isu keselamatan dan keselesaan penyokong di stadium sentiasa diutamakan bermula dari laluan ke parkir hingga di dalam stadium dengan semuanya dibantu oleh marshall yang cekap dan terlatih.
Kehadiran marshall di Stadium Sultan Ibrahim bukanlah perkara baharu malah tugas marshall ini sudah dimulakan sejak dari awal penubuhan JDT dan ketika masih beraksi di Stadium Larkin.
Dengan adanya marshall, tugas kawalan keselamatan dan kawalan penyokong menjadi lebih mudah dan tersusun. Atas sebab ini, tidak pernah ada isu pergaduhan antara penyokong mahupun pencerobohan padang berlaku.
Selain ianya bukan budaya penyokong JDT, kerjasama dan sikap toleransi dan memahami tugas marshall sudah diserapkan dalam diri setiap penyokong yang hadir ke stadium sekaligus menjadikan keadaan tontonan yang selesa.
Kesemua marshall yang dilantik pula adalah dari mereka yang mempunyai latar belakang pasukan keselamatan seperti polis, tentera, bomba mahupun anggota rela. Mereka bukan sahaja cekap dalam mengawal keselamatan tetapi juga mempunyai asas pertolongan cemas jika berlaku sebarang kecemasan.
Stadium Sultan Ibrahim juga dilengkapi 20 unit alat AED atau alat perentak jantung. Sekiranya berlaku serangan jantung kepada penyokong, marshall atau penyokong yang tahu mengendalikan alat itu boleh membantu sebelum kehadiran pihak medikal di tempat kejadian.
Apa yang menarik, kemudahan tandas dan surau di Stadium Sultan Ibrahim terjaga rapi dan kebersihan stadium juga boleh dikatakan baik walaupun sudah lama tidak dihadiri penyokong. Tempat duduk berada dalam keadaan baik dan bersih.
Tambah manis, kesemua fasiliti ini dapat dinikmati penyokong JDT dengan bayaran bermula serendah RM10 sahaja. Tidak ada stadium lain di Malaysia yang mampu memberikan keseronokan menonton bola sepak dengan harga serendah ini.
Tahniah pengurusan JDT, tahniah marshall yang bertugas dan terima kasih kepada semua penyokong yang hadir memeriahkan suasana perlawanan yang sudah lama dirindui. Luaskan Kuasamu Johor.
Foto: JST & Hazri Sharani – HS
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.