Kira-kira dua minggu lagi, kita semua akan menyambut bulan Syawal menandakan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang sememangnya disambut meriah di Malaysia. Kemeriahan Syawal sering dikaitkan dengan permainan bunga api.
Tahun ini juga, JDT dilihat akan bermain bunga api di bulan Syawal. Bukan menyambut hari raya tetapi menyambut kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut. Ianya adalah satu pencapaian yang sangat baik buat JDT.
Selepas berakhir 14 perlawanan Liga Super, JDT kini berkelebihan 10 mata apabila pencabar utama, Pahang dan Kedah tidak konsisten dan sering keciciran mata. JDT pula menunjukkan kematangan dengan memenangi setiap perlawanan yang diharungi.
Berbaki 8 perlawanan dengan 10 mata dihadapan adalah satu kedudukan yang boleh dikatakan selesa buat JDT. Mereka bakal bertemu Kedah minggu ini di Larkin dan jika berjaya menewaskan Kedah, tiada pasukan yang dilihat mampu menghalang JDT muncul juara sekali lagi.
Saya menjangkakan JDT bakal menjulang piala Liga Super 2019 pada permainan LS17 bertemu Selangor di Larkin. Ini kerana dua pencabar, Pahang dan Kedah bakal bertemu sesama sendiri di Darul Aman pada permainan LS16. Apa jua keputusan dari perlawanan tersebut dilihat bakal membantu JDT mempertahankan kejuaraan liga.
JDT ternyata mampu bersaing di peringkat Liga Juara-Juara AFC walaupun baru pertama kali bertanding dan terlalu bagus untuk peringkat domestik. Mereka tahu bagaimana hendak memenangi sesuatu perlawanan walaupun berhadapan dengan pasukan yang berdisiplin bertahan seperti yang ditunjukkan ketika bertemu Felda United dan PKNS FC.
Tahniah kepada JDT. 6 kali berturut-turut bukanlah perkara yang mudah. Jika pasukan lain gagal meningkatkan mutu pasukan maka JDT bakal menjadi seperti Juventus dan Bayern Munich yang menjuarai liga mereka setiap tahun.
Helmi Hashim – Gemas
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.