Ramai yang marah, ramai yang tidak menerima hakikat apabila kerajaan membatalkan Piala Malaysia dan menyekat JDT dari menyertai Liga Juara-Juara AFC di Doha, Qatar atas alasan pandemik Covid-19.
Bagi kelab pula walaupun terkesan dari sudut pendapatan, tetapi JDT menerima segala keputusan dengan tangan terbuka. Mungkin ada sesuatu yang lebih baik menanti kita semua tahun hadapan.
Kini para pemain sudah boleh memulakan rehat dan pemulihan mereka. Setelah beraksi cemerlang sepanjang tahun dan tetap berlatih sendirian di kala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan, sesungguhnya mereka berhak untuk mendapat rehat yang secukupnya.
Pemain bukan robot dan lihat apa yang terjadi kepada pemain liga Eropah. Seorang demi seorang cedera kerana kurang rehat dan pemulihan gagal dilakukan dengan baik akibat dari rasa tamak dan mengejar duit yang akhirnya merugikan pemain dan pasukan.
Penyokong bola sepak tempatan juga perlu akur bahawa industri bola sepak kita tidak dipandang tinggi oleh golongan atasan. Bagi mereka bola sepak hanyalah sukan untuk kesihatan dan mula muncul apabila perlawanan akhir sahaja. Itu pun pastinya dengan tiket yang diagihkan secara percuma dan bukan membelinya.
Cara untuk menyedarkan mereka ini semua adalah dengan kembali ke stadium apabila vaksin Covid-19 ini ditemui. Selepas ini, Covid-19 akan dianggap seperti penyakit selsema biasa yang boleh dirawat dengan ubat. Kita perlu hidup dengan Covid-19.
Apabila stadium kembali penuh setiap perlawanan, mata pihak berwajib akan terbuka dan penaja akan mula merapat sekaligus menyaksikan kepentingan industri bola sepak kepada negera. Selagi wang kerajaan digunakan untuk menjana kelab, selagi itulah bola sepak dianggap tidak penting.
Sekarang mari kita layan ‘transfer rumous’ yang sememangnya seronok untuk didengar dan ditonton. Laman rasmi kelab perlu aktif dalam memastikan segala info sahih dapat disampaikan kepada penyokong dan pemerhati. Buktikan bola sepak adalah industri.
Oleh itu kekal tenang semuanya. Jika dalam sukan Formula Satu apa pun situasi berlaku, Lewis Hamilton tetap muncul sebagai juara, begitu juga dengan Liga Malaysia. Apa jua yang terjadi JDT tetap konsisten dengan dua piala berjaya dibawa pulang musim ini.
Cukup untuk menguntum senyum kerana JDT berjaya merekod 100% dalam dua piala yang dipertandingkan. Sekarang masanya untuk fokus pada musim 2021. Moga semuanya lebih baik dari tahun ini.
Luaskan Kuasamu Johor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.