KEHADIRAN JDT KE SABAH JADI BAHAN BUALAN PENYOKONG BOLA SEPAK

Sepanjang tiga musim sejak Sabah kembali ke Liga Super, perlawanan antara JDT dan Sabah tidak pernah dirasakan mempunyai aura seperti perlawanan Jumaat ini.

Kehadiran Harimau Selatan ke Stadium Likas kali ini menerbitkan satu euphoria yang begitu positif buat para penyokong Sabah dengan jualan tiket habis dijual 10 hari sebelum perlawanan.

Malah di media sosial juga aksi Jumaat ini menjadi topik perbualan yang ‘trending’ sekaligus menambahkan kehangatan perlawanan ‘top of the table clash’ ini.

Sabah kini dalam prestasi yang cemerlang apabila menduduki tangga kedua liga selepas mendapat sentuhan Datuk Ong Kim Swee dan juga beberapa pemain yang berpengalaman.

Sejak dari dahulu, dimana JDT hadir, pastinya akan memberikan kegembiraan kepada para penyokong, janaan ekonomi yang menggalakkan dan suasana menonton yang hebat kerana stadium yang penuh.

Selepas berjaya mencipta rekod kehadiran buat pasukan lawan di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka kini giliran Sabah pula menerima tempias populariti JDT yang kini bergelar kelab nombor satu ASEAN.

Ada penyokong yang hadir hanya mahu menyaksikan pasukan mereka beraksi bersama-sama pasukan yang sudah layak ke peringkat 16 terbaik Asia dan mahu menyaksikan pemain JDT di hadapan mata sendiri.

Namun ada juga mahu menyaksikan JDT tewas kerana semua tahu bukan mudah hendak menewaskan JDT dan siapa yang mampu melakukannya akan mempunyai ‘bragging rights’ dan menjadi kebanggaan para penyokong.

Apa pun yang diharapkan, pastinya satu lagi perlawanan sukar yang akan dilalui JDT. Keadaan stadium yang penuh pastinya akan memberikan semangat buat para pemain untuk mempamerkan aksi yang mantap dan menghiburkan.

Selamat maju jaya kepada kedua-dua pasukan. Ini adalah pertemuan ketujuh JDT dan Sabah dengan Harimau Selatan memenangi kesemua pertemuan sebelum ini.

Pastinya Jumaat ini satu lagi aksi menarik untuk kita saksikan sebagai penyokong JDT. Kepada yang terbang ke Kota Kinabalu, jaga diri dan jaga nama baik JDT. Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply