Tugas penyokong sebenarnya sangat mudah. Penuhkan stadium dan sokong pasukan sepenuh hati tanpa alasan dan tanpa memilih pasukan yang ditentang. Berdiri dibelakang pasukan walau apa pun keputusan yang mendatang.
Itulah falsafah penyokong bola sepak di Eropah yang memang menjadikan bola sepak dan kelab mereka umpama agama. Tidak kira dimana juga kelab mereka bermain sama ada divisyen atas atau bawah stadium mereka kekal penuh kerana rasa cintakan pasukan.
Pemilikan penyokong menjadi asas setiap kelab. Wakil kelab mempunyai kuasa memilih dan diberi tempat duduk khas di dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah dan membawa suara penyokong.
Jadi apabila pasukan beraksi kurang baik mereka akan berasa bahangnya kerana terpaksa berhadapan dengan wakil penyokong ini. Dengan ini juga penyokong mampu untuk menentukan hala tuju kelab dan memastikan kelab mematuhinya.
Berlainan kisahnya di Malaysia. Penyokong mahukan fasiliti, pasukan, pemain bintang, corak permainan semuanya ala eropah tetapi mentaliti penyokong masih kelas kampung.
Penyokong mahukan kelab menjuarai Piala Malaysia tetapi tidak mahu memberikan sokongan. Cukup mengetuk papan kekunci sebagai tanda sokongan dan tidak mahu turun ke stadium dengan seribu macam alasan.
Jika dibaca komen-komen di laman penyokong mahupun laman rasmi kelab terlalu banyak sebab yang kini diberikan oleh penyokong. Rumah jauh dari stadium, anak sekolah, kerja, kenduri, dah pernah turun stadium dulu-dulu, salah jurulatih, pemain tak cukup ‘world’, undang-undang stadium susahkan penyokong sering didendangkan di ruangan komen.
Kita faham masing-masing ada komitmen tetapi jangan terlalu kerap berdalih. Yang peliknya alasan ini akan segera hilang dan langsung tidak kedengaran apabila kita layak ke final. Padahal stadium lebih jauh, tiket lebih mahal dan esok anak bersekolah dan tetap menggunakan jurulatih dan pemain yang sama.
Ini jelas masalah mentaliti penyokong kita. Kita harus ingat kata-kata ‘football is nothing without fans’. Oleh itu ayuh penuhkan stadium dan menyokong dari awal dan bukannya hanya di final.
Mana tahu ditakdirkan kita layak ke final nanti dan pengurusan akan nyatakan bahawa mereka yang datang ke stadium dari awal bakal mendapat kuota tiket final khas. Bukankah ini menguntungkan kita dan berjaya menolak persepsi kita adalah bangsa final.
Mari ubah mentaliti kita. Kelab semakin maju tetapi kita masih dengan cara lama. Jangan sampai pasukan lawan sewenang-wenangnya memuat naik ‘posting’ mengatakan mereka sudah tidak takut dengan kita kerana kini kita berjuang tanpa penyokong. Fikir-fikirkanlah.
Fendi – Kota Tinggi
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.