JDT PENCETUS REVOLUSI BOLA SEPAK NEGARA

Revolusi atau ‘revolution’ dalam bahasa Inggeris adalah satu perubahan asasi dalam kuasa atau struktur pertubuhan yang berlaku secara mendadak. Revolusi banyak merubah lanskap dunia moden sama ada dari sudut politik, kenegaraan, musik dan juga sukan.

Dari sudut politik dan kenegaraan, pelbagai revolusi di seluruh dunia telah membangkitkan semangat jati diri dalam kehidupan seorang pejuang seperti yang ditonjolkan dalam Revolusi Perancis dan juga Revolusi Iran serta Revolusi Perindustrian.

Dalam musik pula dunia masa kini dihidangkan dengan revolusi musik Korea Selatan menerusi kumpulan mereka yang terkenal seperti BTS dan Blackpink yang menyerang dunia dan menyebabkan para peminat histeris di mana sahaja mereka beraksi.

Lagu yang rancak dan menepati mood anak muda serta tarian yang bertenaga menarik minat ramai hinggakan Revolusi Musik Korea ini berkembang dan membantu sosio ekonomi dan pelancongan Korea Selatan.

Di Malaysia revolusi yang jelas berlaku dan mudah dibincangkan tanpa prejudis adalah Revolusi Bola Sepak yang dibawa oleh Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bermula pada tahun 2013. Selepas tujuh tahun revolusi ini bukan hanya menggoncang negara tetapi Asia dan dunia.

Semasa pasukan lain bertukar-tukar pucuk pimpinan kerana hala tuju politik, JDT kukuh diterajui oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim Tunku Mahkota Johor, seorang Putera Raja berjiwa besar dan mempunyai minat dan rangkaian yang baik dalam dunia bola sepak.

Tatkala pasukan lain masih mengharapkan bantuan kewangan dari kerajaan negeri, JDT mengubah lanskap dan membuat anjakan paradigma dengan menjadi kelab pertama bergerak tanpa bantuan kerajaan dan bergerak dengan wang penajaan korporat.

Ketika pasukan lain menyewa padang kerajaan untuk berlatih, JDT mengorak langkah dengan membina pusat latihan serba canggih yang dilengkapi pelbagai kelengkapan sains sukan terkini yang membantu pemain mencapai tahap maksimum mereka.

Dikala pasukan lain masih tidak mempunyai stadium sendiri, JDT menaik taraf Stadium Larkin dan di masa yang sama membina sebuah stadium bola sepak ala eropah yang sangat canggih dengan padang terbaik sekaligus membuka mata dunia bola sepak terhadap JDT.

Di masa pasukan lain sibuk dengan Piala Malaysia, JDT semakin kehadapan dengan Piala AFC dan kini bersaing sengit di Liga Juara-Juara AFC. Tetapi dalam masa yang sama JDT masih juga sempat memenangi Piala Malaysia sebanyak dua kali. Klasik bukan?

Di saat semua pasukan mahukan piala kalahkan JDT, JDT pula tanpa henti mencipta sejarah demi sejarah dengan 15 piala dalam 7 tahun. Semua piala yang ditawarkan dalam pertandingan domestik telah berjaya dirangkul oleh JDT.

Di waktu pasukan lain sibuk dengan anak jati, JDT mengumpul pemain berdarah kacukan pulang dan bermain di Johor sekaligus membantu skuad Harimau Malaya dalam bersaing di peringkat antarabangsa dan mengembalikan keyakinan peminat kepada skuad kebangsaan.

Kini banyak pasukan yang mula berkiblatkan JDT dalam menjadi sebuah kelab yang profesional. JDT juga tidak lokek dalam berkongsi ilmu kerana ianya bakal menaikkan status liga tempatan. Pasukan sudah bertukar ke FC dari FA dan hanya masa menentukan bilakah bola sepak Malaysia akan bebas dari tangan ahli politik dan mereka yang berkepentingan.

Inilah yang dinamakan revolusi. Bukan hanya mengubah diri sendiri tetapi berjaya mengubah pelbagai lanskap dalam sistem bola sepak negara. Kini Asia sudah memandang liga kita, Eropah juga sudah mula mengambil pemain kita.

‘JDT Is A Revolution for a good cause’.

Fikir-fikirkanlah.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply