Tanyalah kepada setiap pemain bola sepak profesional di negara ini sama ada mereka mahu menyarung jersi JDT atau tidak. Kebanyakannya akan mengatakan ya. Persoalan utamanya adalah mengapa mereka mahu bermain di JDT?
Umum mengetahui bahawa jika terpilih menyarung jersi JDT, setiap pemain perlu membuktikan diri mereka layak untuk meraih tempat dalam kesebelasan utama. Tetapi mereka tetap mahu datang ke JDT.
Faktor utama adalah fasiliti. Sebagai pemain professional mereka pastinya mahu dilayan seperti professional. Mereka mahukan keselesaan dan bukannya dikatakan professional tetapi dilayan seperti pasukan divisyen 8 kelab Eropah. Bola sepak adalah kerjaya mereka sudah pasti selain pakej pendapatan dan bonus yang menarik, keadaan tempat kerja juga pastu menjadi faktor seseorang memilih majikan.
Kestabilan dan hala tuju yang jelas membuatkan para pemain yakin dengan pemilihan mereka. Ini yang terjadi kepada barisan pemain di awal penubuhan JDT. Selepas mereka mendengar idea dan visi DYAM TMJ, mereka tanpa perlu berfikir panjang terus menurunkan tanda tangan di kontrak dan kini meraih hasilnya tahun demi tahun.
Kadar pemulihan dari kecederaan yang lebih pantas juga menarik minat para pemain. Bayangkan pemain tidak perlu ke hospital sebaliknya hanya hadir ke Pusat Medikal dan Kecergasan kelab untuk mendapatkan rawatan dan menjalani terapi kecergasan. Ini lah yang diimpikan setiap pemain yang digelar profesional.
Pemakanan pemain juga diberi penekanan sehingga pemain yang dahulu saiz badannya kecil kelihatan sasa dan sesuai untuk bermain bola sepak peringkat tinggi selepas beberapa bulan menyertai JDT. Siapa yang tidak mahukan layanan seperti ini.
Pemain-pemain kelab lain yang turun berlatih di Pusat Latihan JDT semasa Latihan Pusat Skuad Kebangsaan sudah pasti tertarik untuk menggunakan fasiliti di pusat latihan itu untuk jangka panjang. Daya tarikan ini yang menjadikan JDT magnet untuk pemain professional.
Sebagai seorang pemain profesional apabila segalanya sudah dijaga apa yang perlu mereka lakukan adalah berlatih dan menunjukkan kebolehan mereka kepada barisan kejurulatihan. Pening kepala mengenai di mana hendak salin baju, gaji di mana, makan di mana tidak perlu dirisaukan kerana semuanya sudah diaturkan pengurusan kelab.
Atas faktor-faktor ini lah JDT sentiasa menjadi destinasi impian para pemain profesional. Oh sebelum terlupa, mereka yang berkebolehan juga berpeluang bermain dengan kelab antarabangsa kerana kerjasama mantap JDT dengan pelbagai kelab di luar negara.
Apa lagi mereka mahu. Hanya perlu datang berlatih, bermain sepenuh hati untuk memenangi perlawanan dan menjulang piala serta disanjung para penyokong yang setia. JDT For All. Luaskan Kuasamu Johor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.