JDT 2018 – VERSI 2.0

 

JDT 2018-Versi 2.0

Ramai yang masih kecewa dengan kegagalan membawa pulang 3 mata penuh apabila sekadar seri 2-2 dengan Selangor tempoh hari. Melihat pada penguasaan permainan, keputusan akhir seharusnya memihak kepada JDT.

Namun itulah bola sepak. Pasukan Selangor hanya menyerang dua kali dan mereka berjaya mendapat dua jaringan. Walaubagaimanapun, kita dapat melihat pasukan JDT yang lebih dinamik muncul.

Debut yang memberangsangkan oleh Harry Novillo membuatkan penyokong lega. Aksi bertenaga beliau mengingatkan kita kepada Diaz. Namun Novillo lebih keras dan sukar dijatuhkan pihak lawan.

 

Gol penyamaan beliau boleh dianggap sebagai tonik untuk menambahkan lagi keyakinan beliau beraksi. Bukan mudah untuk pantas menyesuaikan diri dengan pasukan baru.

Berbeza dengan seorang lagi pemain import, Jorge Silva yang dilihat masih bergelut untuk menyesuaikan diri. Tetapi, beliau menunjukkan beberapa aksi memukau terutama pusingan badan beliau yang mampu mengelirukan pertahanan lawan.

Silva masih memerlukan lebih minit permainan bagi membolehkan beliau menjadi penyerang yang digeruni. Perkara ini sama seperti Martin Lucero di awal musim 2016. Setelah mendapat sentuhan, tiada siapa yang mampu menyekat beliau.

 

Raul Longhi perlu memperkukuhkan lagi barisan pertahanan pasukan. JDT dilihat semakin mudah ditembusi terutama menerusi hantaran jauh. Perkara ini perlu diberi perhatian jika tidak mahu keciciran mata lagi.

Dua gol Selangor berpunca dari kealpaan barisan pertahanan. Nasib juga menyebelahi JDT apabila ada peluang gagal disudahkan barisan hadapan Selangor. Jika berdepan pasukan yang mempunyai penyerang tulen, JDT akan berdepan masalah.

Kemasukan Nazmi Faiz terus merancakkan serangan pasukan. Afiq Fazail dan Hariss Harun mempunyai peranan yang sama manakala Safawi Rasid kelihatan hilang disebalik Novillo. Nazmi harus diberikan peranan yang lebih besar selepas ini jika JDT ingin mencapai kemenangan.

 

Penyokong harus memberi lebih masa kepada pasukan baru ini untuk membentuk persefahaman yang jitu. Perlawanan bertemu Negeri Sembilan dan PKNS bakal menjadi pertaruhan sebelum bertemu Perak dan Pahang.

Tahniah diucapkan kepada kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua pemain yang bermain mati-matian bagi memastikan sekurang-kurangnya satu mata di bawa pulang dari Cheras.

Dan kepada Amri Yahyah, anda adalah seorang legenda. Anda datang kepada penyokong sebagai tanda penghargaan dan penyokong membalasnya dengan tepukan yang gemuruh.
Jika segalanya mengikut pelan, JDT dilihat sukar digugat di pusingan kedua ini.

Adnan, Petaling Jaya

Foto: Muhammad Azim – www.asiana.my

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply