INI JOHOR DARUL TA’ZIM
“Tahniah JDT kerana layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia. Anda telah membanggakan Johor. Terima kasih juga kepada para penyokong kerana membawa suasana yang menakjubkan pada malam ini.” – DYAM Tunku Mahkota Johor
Sebulan Stadium Larkin sunyi sepi tanpa perlawanan pasukan JDT. Kesemua tiga perlawanan di tempat lawan ditempuh satu persatu oleh wira-wira JDT. Apa yang memberikan kesan kepada saya, penyokong JDT di Johor Bahru adalah apabila melihat stadium lawan dipenuhi dengan lautan merah biru.
Ini menimbulkan rasa iri kepada saya dan saya ingin membuktikan kepada pasukan bahawa Ngauman Larkin akan kembali. Akhirnya tanggal 29 September 2018 menyaksikan stadium keramat ini kembali meriah seperti tahun-tahun sebelum ini.
Keghairahan penyokong JDT kembali membara. Sudah lama saya tidak melihat barisan yang panjang beratur untuk membeli tiket. Faktor perlawanan pada hari Sabtu dan minggu gaji juga sedikit sebanyak membantu kemeriahan ini.
Tiba di stadium seawal jam 5 petang, saya dapat rasakan aura positif di kalangan penyokong. Semua tertib beratur memasuki kawasan stadium. Corteo BOS juga dirasakan semacam. Bagai ada rasukan yang melanda penyokong JDT.
Menjelang pertemuan, teres terlihat penuh. Satu pemandangan yang sudah lama tidak dapat dilihat. Kehadiran awal Tunku Mahkota Johor (TMJ) disambut sorak sorai rakyat jelata yang menyanjungi usaha beliau menaikkan nama JDT.
Sebelum perlawanan bermula dari jauh kelihatan Fernando Marquez turut hadir memberikan sokongan kepada pemain-pemain yang melalukan warmup di padang.
Belum mencecah seminit, stadium gegak gempita dengan sorakan gol pertama. Pasukan pelawat dilihat gugup beraksi di hadapan belasan ribu penyokong fanatik JDT. Sesiapa di dalam stadium boleh merasakan kehebatan sorakan pada malam itu.
Akhirnya JDT beroleh kemenangan yang bergaya dan corak permainan pasukan dilihat seolah-olah ingin membalas kepercayaan peminat terhadap mereka. Susana ceria jelas terpancar di wajah semua. Dari penyokong, pemain hingga ke budak milo.
Segala sengketa antara penyokong dan pengurusan sebelum ini terlihat sudah berakhir malah pengurusan dengan terbuka berterima kasih kepada penyokong di laman sosial mereka. Inilah yang diharapkan oleh semua keluarga JDT.
Sekarang semua penyokong menunggu tarikh 20 Oktober untuk pertemuan separuh akhir kedua menentang Terengganu. Ayuh semua kita sekali lagi gamatkan Larkin. Tunjukkan kepada semua “Ini Johor Darul Ta’zim”.
Luaskan Kuasamu Johor
Rusdin – Air Hitam
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.