HARI INI BERMULA DARI SEMALAM – SATU PERJALANAN
Coretan awal penubuhan STU aka BOS daripada Khairul Afham. Apa-apa pun tunduk hormat buat orang-orang terdahulu. Tiada yang lama maka tiada la yang baru. Terima kasih atas perjuangan kamu.
Ini adalah cerita yang tiada kena mengena dengan pelaburan tapi satu cerita gila aku dan rakan dengan culture menyokong bola sepak tempatan. Dari situ kemudiannya tercetusnya sub-culture menyokong pasukan bola sepak negeri. 7-8 tahun lepas, kalau menyokong pasukan bola sepak negara pun akan ditertawakan rakan sekerja, rakan serumah apatah lagi dengan pasukan bola negeri iaitu negeri kelahiranku, Johor. Memang janggal, sejanggal kau pakai jersi Malaysia dan pasukan negeri kau.
Waktu tu, pasukan bola Johor bukan seperti sekarang, memang malap malah semacam tak dipandang langsung oleh rakyat Johor. Lawan Johor pun tak pernah pandang serius dengan kehadiran pasukan kesayanganku ni. Tetapi di atas semangat tidak mahu kebelakang, sebab ada 2 negeri sebelum Johor dah mula dengan ultras Negeri maka aku dan Adib, kami sepakat untuk memulakan cerita gila ni di stadium KLFA Cheras, kalau tak silap KL vs Johor FA. Ini semua kami buat sebab tak mahu negeri Johor dilabel sebagai negeri yang tiada sub-ultras Negeri.
Malam tu, kami berdua dengan beberapa puluh pengunjung stadium KLFA dan dengan banner yang tak seberapa, agak daif malah dengan persiapan yang tak rapi kerana kekangan bekerja dan adib pula waktu tu masih belajar. Tiada haler, malah tiada segalanya dengan proper attire selari dengan culture ultras ni. Berdua namun stadium itu gamat dengan suara kami. Puas! Namun bermula di malam itulah daripada dua menjadi bertiga. Selepas tamat perlawanan, kami disapa oleh Zaki, dan dari situ jugalah keluarga ini berkembang.
Seperti yang aku sangka pada awal lagi, ia satu perjalanan sukar kerana tak ramai menyedari kehadiran kami. Walaupun pemain Johor sudah mula menyedari kehadiran kami. Banyak pengalaman dan ragam yang tak dapat aku lupakan dan keluarga ini berkembang lagi dengan kehadiran Pejal dan individu-individu yang bertapak di Lembah Klang. Secara perlahan, ia berkembang dan mula berkembang apabila Pejal dan Adib pulang ke gagang ke Negeri Johor. Yang mana aku berpendapat ia bagus untuk BOS sebab hanya dengan ramai comrade di home sahajalah kita mampu berkembang dan berkumpul untuk komplot.
“Unless you have bad times, you can’t appreciate the good times..”
Masa itu kita sudah mampu mengumpul kekuatan 20-30 orang komrad pada satu satu masa. Soalan-soalan tipikal seperti macam mana nak sertai, yuran ada dan macam-macam lagi adalah rutin khas untuk dilayan. Aku pada masa itu sudah mula jauh dari BOS kerana komitmen keluarga dan kerja shift yang melumpuhkan terus aktiviti aku bersama BOS. Namun selalu jugak aku di dalam talian, berkomunikasi dengan Pejal dan Adib untuk memastikan gerakan ini lebih diterima seperti mana negeri-negeri lain yang awalnya sudah menerima kehadiran kehadiran ultras di negeri masing-masing. Agak iri hati dan pada masa yang sama agak bersemangat untuk mencapai tahap itu.
Pada satu ketika, pernah juga kami terduduk kecewa dan aku pernah berseloroh mungkin keadaan ni tak serumit begini kalau bolasepak Johor masa itu hebat dan kalau pasukan Johor ada pemilik semacam Roman Abramovich di Chelsea. Alhamdulillah, ia menjadi kebenaran apabila semuanya menjadi kenyataan apabila TMJ menyahut teriakan sekumpulan anak muda waktu itu sudah mula dikenali dengan BOS untuk menyelamatkan bola sepak Johor (Tunku selamatkan bolasepak Johor).
Inilah 1 coretan dalam lipatan hidup aku yang tak akan aku lupakan. Terima kasih buat isteriku yang sentiasa menyokong kerja gila suaminya ni. Terima kasih juga untuk rakan seperjuangan yang sanggup berjuang demi Johor. Terima kasih, kini aku tumpang bangga orang pandang tinggi pakai jersi Negeri dan sudah mula kutuk mengutuk team Negeri lain ibarat waktu dulu orang kutuk sama lain dengan team pasukan Epl yang mereka sokong.
Kini kita tidak berseorangan lagi.
Khairul Afham, Mac 2016
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.