Satu ketika dahulu penyokong JDT akan turun ke Stadium Larkin tanpa perlu diseru. Kini ada beberapa penyokong yang mula menjauhkan diri dari stadium.
Mungkin merajuk mungkin kecewa mungkin ada masalah kewangan mungkin ada masalah keluarga tetapi itu semua hak masing-masing yang kita perlu hormati.
Cuma kini pasukan JDT perlukan sokongan anda yang semua maklum amat luar biasa. Perlawanan suku akhir kedua menentang Terengganu ini perlu dianggap seperti perlawanan akhir.
Ini kerana jika menang, JDT akan layak ke separuh akhir menentang lawan seterusnya dan hanya selangkah lagi ke final. Jika tewas, sayangnya perlawanan ini akan menjadi aksi terakhir di stadium keramat kita, Stadium Larkin.
Satu gol tempat lawan yang dibawa pulang boleh dianggap sebagai ‘advantage’ tetapi perlu diingat semua pasukan akan bermain mati-matian untuk menewaskan JDT apa lagi di Larkin demi memegang ‘Piala Kalahkan JDT’.
Aksi mengagumkan JDT di Kuala Terengganu harus menjadi titik tolak kepada penyokong untuk memenuhkan stadium bagi memastikan pelawat tenggelam punca sekaligus pulang dengan tangan kosong.
Tetapi dalam pada kita yakin, kita harus ingat bahawa pasukan Terengganu lah yang menyingkirkan kita di separuh akhir tahun lalu. Bak kata-kata popular “bola itu bulat”.
Atas sebab itulah seruan ini diberikan kepada semua penyokong JDT untuk turun ke stadium dan sekali lagi menyajikan sokongan padu yang pasti mendatangkan gerun kepada lawan.
TMJ kini sudah kembali kepada kita. Maka marilah kita juga bersama-sama kembali semula ke stadium sehati sejiwa demi Johor Darul Ta’zim.
Buah Pisang Di Dalam Peti,
Masak Sebiji Atas Permatang
Usah Dilayan Rajuk Dihati,
Takut Ditawa Tamu Yang Datang.
Fikir-fikirkanlah. Luaskan Kuasamu Johor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.