Bangsa Johor seharusnya berbangga apabila dikurniakan pemimpin masa depan yang arif dan bijaksana yang mahu mengubah hidup rakyatnya menjadi lebih baik dengan melahirkan generasi yang pintar, sihat dan berdaya saing dalam ekonomi.
Inilah perkara tersirat yang perlu kita lihat dalam intipati lawatan DiRaja DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor ke Republik Singapura yang bukan sahaja mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua pihak malah impak masa depan yang bakal diwarisi.
Negeri Johor mempunyai kekayaan hasil bumi yang cukup lumayan dan ianya perlu diberi perhatian untuk memastikan hasil bumi itu mendatangkan pendapatan kepada negeri dan semua maklum, Singapura adalah antara negara yang bijak dalam pengurusan ekonomi dan sumber manusia.
Lawatan TMJ ke Singapura meletakkan ekonomi negeri Johor sebagai aset dengan cadangan penubuhan Zon Ekononi Istimewa (SEZ) antara Johor dan Singapura yang dijangka boleh memberikan pulangan berbilion Ringgit kepada negeri Johor.
Ini kerana kedudukan dan saling kebergantungan antara Johor dan Singapura terlalu rapat dan memerlukan satu sama lain untuk terus bergerak maju dari segi ekonomi.
Jika Johor belajar dengan Singapura mengenai ekonomi, Singapura pula belajar bagaimana hendak membangunkan sukan bola sepak mereka dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Negeri Johor dan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Satu kerjasama telah ditandatangani dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) kini akan mempelajari cara pembangunan bola sepak dengan JDT yang sudah terbukti kejayaannya apabila Akademi JDT telah meraih 25 trofi kejuaraan setakat ini.
Ekonomi yang kukuh dengan skuad bola sepak yang kuat sudah cukup untuk memberikan kegembiraan kepada Bangsa Johor namun ada satu perkara lagi yang perlu ditekankan untuk menjadi bangsa yang lebih berjaya iaitu pendidikan.
Lawatan DiRaja juga turut menekankan kepentingan pendidikan dengan TMJ tidak malu untuk belajar mengenai sistem pendidikan di Republik itu yang terkenal bertaraf dunia dan sejak dari dahulu, impian Baginda adalah untuk mempunyai sistem pendidikan yang bermutu buat rakyat negeri Johor.
Pendidikan adalah elemen terpenting dalam kehidupan seharian kita. Dengan adanya pendidikan berkualiti, rakyat akan berfikiran lebih matang dan berdisiplin serta akan mempamerkan sisi yang lebih baik dengan nilai-nilai murni yang mampu menaikkan nama negeri Johor.
Dengan pendidikan yang baik juga, masyarakat bermentaliti tinggi akan dapat dilahirkan yang pada suatu hari akan menyumbang tenaga mereka kepada ekonomi dan bola sepak negeri Johor yang menjadi kebanggaan dan akan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.
Inilah perkara tersirat yang dapat disimpulkan dari lawatan DiRaja ke Singapura. TMJ sayang negeri Johor dan Baginda mahukan perubahan total dari pelbagai aspek bagi memastikan negeri Johor menjadi negeri paling baik dari sudut ekonomi dengan rakyat yang pintar dan berdisiplin ditambah pasukan bola sepak yang berjaya di peringkat domestik dan antarabangsa. Allah Peliharakan Sultan.
Luaskan Kuasamu Johor.