Tahun 2022 adalah tahun yang hebat buat sukan negeri Johor apabila majoriti sukan yang disertai berakhir dengan kejayaan yang boleh dikatakan dominan.
Jika dahulu, arena sukan ini bukanlah sesuatu yang kita sebagai Bangsa Johor boleh banggakan tetapi kini apabila mendengar sahaja nama Johor, lawan secara automatik akan merasakan aura kekuatan.
Tidak salah jika diperkatakan segalanya berubah hasil usaha seorang individu iaitu DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang cakna tentang perkembangan dan kejayaan sukan di negeri Johor.
Baginda menggunakan sukan untuk menyatupadukan Bangsa Johor dan menerusi sukan juga, negeri Johor berjaya menarik banyak pelaburan sehingga menjadi negeri paling banyak menerima pelaburan luar negara pada tahun ini.
TMJ mencetuskan fenomena bermula dengan penubuhan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), kelab bola sepak yang kini menjadi kebanggaan rakyat Johor dengan kejayaan bukan hanya di dalam padang tetapi di luar padang.
Baginda mencipta JDT menjadi sebuah jenama dan bukan hanya tertumpu kepada bola sepak sebaliknya mewakili keseluruhan sukan, ekononi dan negeri Johor itu sendiri di bawah satu logo dan gelaran Harimau Selatan.
Sikap terbuka Baginda duduk bersama Menteri Besar dan Exco Sukan serta pemimpin sukan negeri memberikan impak yang besar buat sukan negeri Johor apabila satu persatu pasukan Johor menjadi juara dalam bidang sukan yang disertai.
Dengan bantuan dari segi penambahbaikan fasiliti dan pencarian jurulatih yang mampu melahirkan atlet berwibawa semuanya dibincangkan bersama-sama pihak yang berwajib dan kini segalanya telah melakarkan hasil.
Kontinjen Sukma Johor mencipta sejarah menguasai temasya dwitahunan itu dengan 77 pingat emas dengan beberapa sukan didominasi oleh Johor hingga ramai pemerhati sukan tanah air kagum dengan pembangunan sukan di Johor.
Tidak cukup dengan Sukma, pasukan Bola Jaring, Sepak Takraw, Hoki Ais dan Ragbi turut sama mengharumkan nama Johor selain sukan individu yang turut bangga mengibarkan bendera Johor di kedudukan teratas podium.
Bola sepak tidak perlu diperkatakan lagi apabila ketiga-tiga skuad JDT menguasai tiga liga teratas Piramid Liga Malaysia dengan JDT, JDT II dan JDT III muncul juara liga masing-masing dan turut diikuti dengan pasukan Akademi JDT yang menjuarai tujuh trofi.
Negeri Johor juga menjadi tumpuan acara sukan antarabangsa apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memilih Stadium Sultan Ibrahim sebagai salah satu venue tuan rumah untuk Liga Juara-Juara AFC yang menyaksikan JDT mencipta kejutan terbesar muncul juara kumpulan.
Acara Spartan Stadion juga dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim milik JDT yang berjaya menarik minat ribuan peserta dari dalam dan luar negara dan membuktikan stadium itu sememangnya canggih dan boleh digunakan dalam pelbagai acara sukan.
Kemuncaknya, Sabtu ini kesemua kejayaan ini akan diraikan dalam acara gilang gemilang di bawah satu bumbung di hadapan puluhan ribu penyokong sebagai tanda penghargaan kepada kecemerlangan Johor.
Gelaran TMJ sebagai lambang kemajuan sukan negeri Johor tidaklah dirasakan keterlaluan kerana ianya sudah terbukti dan kejayaan ini akan berterusan dengan sistem yang sudah dibuktikan keberkesannya.
Buat yang ke stadium Sabtu ini, kita enjoy dan tidak ke stadium boleh hadiri ‘viewing party’ di daerah masing-masing. Ini Johor Darul Ta’zim. Luaskan Kuasamu Johor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.