Sejak penubuhan kelab pada 2013, terlalu banyak rekod yang telah dicipta oleh Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Tahun demi tahun JDT semakin gah dan semakin jauh dilihat meninggalkan para pencabar lain. 2020 juga menyaksikan JDT tidak berhenti dari mencipta sejarah.
Bukan mudah untuk menjuarai liga. Mempertahankannya lebih sukar tetapi JDT dilihat mudah melakukannya. Hasil dari pelaburan dan pentadbiran yang tepat, JDT berjaya muncul juara tujuh kali berturut-turut Ini kerana JDT sememangnya fokus kepada kejuaraan liga kerana tiket ke Asia adalah pertaruhannya.
Selain itu, untuk menjuarai liga tanpa kalah juga lebih sukar. Tetapi tidak buat JDT apabila berjaya melakukannya pada tahun 2016 dengan 18 kemenangan dan 4 kali seri. Tiada siapa yang pernah lakukan perkara ini dalam sejarah Liga Super Malaysia ketika itu.
Kini JDT melakukan sesuatu yang lebih mustahil. Menjuarai liga tanpa kalah sekali lagi. Sembilan kemenangan dan dua keputusan seri dari 11 perlawanan cukup untuk melakarkan satu lagi rekod cemerlang JDT sekaligus menjadi pasukan pertama menjuarai liga dua kali tanpa kekalahan.
Tidak banyak pasukan yang berjaya melakukan perkara ini. Di peringkat ASEAN, JDT menyamai rekod yang pernah dilakukan oleh Buriram United ketika mereka menjuarai liga tanpa kalah pada tahun 2013 dan 2015. Pada ketika ini JDT berada diperingkat awal pembentukan dan JDT menjadikan Buriram United sebagai kelab contoh dan kini lihat hasilnya.
JDT juga menyamai rekod kelab handalan Portugal, FC Porto yang menjuarai liga tanpa kalah pada musim 2010-2011 dan musim 2012-2013. Kelab gergasi Eropah yang lain seperti Arsenal, AC Milan, Juventus dan Celtic masing-masing pernah merasai nikmat tanpa kalah ini sebanyak satu kali.
Rekod baharu ini sememangnya meletakkan JDT dalam Malaysian Book of Records dan rekod ini pastinya akan menjadi rekod yang sukar dipercahkan oleh mana-mana pasukan Liga Malaysia dalam tempoh terdekat.
Buat JDT pula, rekod ini akan menjadi pemangkin semangat buat mereka untuk memecahkannya sekali lagi. Sikap sentiasa mahukan kemenangan yang sentiasa tersemat dalam pemain JDT adalah antara faktor kejayaan JDT di peringkat domestik ini.
Akhir kata, ketika melakukannya kali pertama pada 2016, JDT tunjukkan bahawa mereka sedang meluaskan kuasa, kini 2020 mereka buktikan pula yang mereka sudah semakin jauh kehadapan dan tidak akan menoleh kebelakang lagi. Tahniah JDT. Luaskan Kuasamu Johor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.