Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sentiasa mencipta sejarah. Sejak penubuhan kelab pada tahun 2013, pelbagai sejarah dan kejayaan serta rekod berjaya dicipta pasukan kesayangan kita ini.
Sabtu ini, tanggal 22 Februari 2020 bakal menyaksikan satu lagi sejarah dan lembaran baharu buat JDT. Stadium milik penuh kelab yang menjadi kebanggaan semua akan dirasmikan sekaligus menaikkan nilai JDT dalam misi RM1 Billion yang diumumkan baru-baru ini.
Siapa yang tidak bangga dengan pencapaian ini. Tipu lah jika kita tidak rindu dengan Larkin. Bermula dari sebuah stadium yang usang kemudian dinaik taraf, kini sebuah stadium moden berkelas dunia pula bakal menjadi milik kita.
Sabtu ini kepada mereka yang berkelapangan dan sudah mempunyai pas masuk istimewa ayuh meriahkan acara bersejarah ini. Jika gagal mendapatkan pas, jangan hampa kerana anda masih berpeluang menyaksikan menerusi layar lebar yang bakal disediakan.
Semua maklum, jika JDT membuat sesuatu acara, pastinya acara itu akan gempak dan bertaraf dunia sesuai dengan ‘tagline’ ‘JDT doing JDT style’. Oleh itu, upacara pada Sabtu ini sudah pasti bakal menjadi bualan ramai dan sudah semestinya menarik perhatian dan komen ‘murni’ para netizen.
Kepada yang bakal hadir, sila patuhi arahan marshal dan pihak keselamatan. Ingat, walaupun ini rumah kita tetapi ianya rumah baru. Kita belum kenal dengan selok belok stadiuk baharu ini. Jagalah kebersihan dan pastikan kita tinggalkan stadium dalam keadaan seperti mana kita masuk.
Ayuh semua kita pastikan majlis perasmian Stadium Sultan Ibrahim ini menjadi satu acara yang bakal kita kenang sampai bila-bila. Satu sejarah yang tidak boleh diganti dengan wang ringgit.
Apabila ada yang bertanya mana anda dalam sejarah JDT, kita dengan bangganya boleh menjawab “aku ada ketika perasmian Stadium Sultan Ibrahim” seterusnya menguntum senyum kepuasan.
Luaskan Kuasamu Johor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.