JDT berjaya layak ke final Piala Malaysia sekali lagi dan kali ini ada sedikit kelainan kerana perlawanan akhir berlangsung pada hari Selasa dan dalam keadaan pandemik.
Stadium Nasional Bukit Jalil yang biasanya akan penuh sesak dengan hampir 90,000 penyokong hanya akan diisi oleh 20,000 penyokong dari kedua-dua pasukan dengan SOP yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ketika berjaya membenam cabaran Terengganu semalam, terdetik di hati pastinya sukar untuk mendapatkan tiket final apatah lagi apabila Malaysia Football League (MFL) mengumumkan hanya 9,000 tiket dijual kepada setiap pasukan.
Namun hati kembali berbunga pada pagi Sabtu apabila laman rasmi Johor Southern Tigers mengumumkan jualan tiket akan dibuka pada tengah hari dan apa yang lebih menguntum senyuman adalah ianya dikhususkan untuk pemegang pas bermusim dahulu.
Sebagai pemegang pas bermusim sejak sekian lama, perkara ini disambut dengan hati terbuka kerana JDT mengutamakan peminat setia yang sudah membelanjakan wang pada awal musim dan hadir pada setiap perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim.
Tiba jam 12 tengah hari, laman Ticket Hotline dijengah dan apa yang menarik, sistem tiket hotline dan sistem pas bermusim JDT berintegrasi dengan baik menggunakan nombor kad pengenalan.
Nombor kad pengenalan dikesan dan jika anda pemegang pas bermusim anda akan diberikan akses ke halaman berikutnya untuk membeli tiket tetapi jika sebaliknya, anda tidak dibenarkan membuat pembelian.
Satu pas bermusim mempunyai satu kuota tiket dan anda boleh memilih jenis tiket yang telah disediakan pihak penganjur. Sangat mudah dan efisien kerana ianya mengenalpasti nombor kad pengenalan yang didaftarkan.
Semuanya selesai kurang dari lima minit. Kini tiket premium grandstand sudah dikirim di inbox dan kini hanya menunggu hari untuk hadir ke stadium. Mudah, cepat, efisien dan berasa sangat berbaloi membeli pas bermusim.
Terima kasih buat pengurusan JDT kerana memahami kehendak penyokong setia yang sentiasa hadir ke stadium tanpa memilih perlawanan. Kelebihan inilah yang membuatkan jualan pas bermusim laku umpama pisang goreng panas.
Apa yang pasti, sistem tiket atas talian ini akan dapat menghapuskan ulat tiket yang sentiasa bersedia mencekik darah mereka yang terdesak kerana mereka tahu bangsa final itu wujud.
Ikhlas dari seorang penyokong yang setia dan masih teruja walaupun banyak kali layak ke final. Semuanya dilakukan demi Johor Darul Ta’zim. Merah biru darahku. Luaskan Kuasamu Johor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.