ALKISAH TIGA KAD MERAH DAN JDT

Tiga kad merah dilayangkan kepada pemain Felda United FC ketika tewas kepada JDT di Larkin menjadi bualan hangat penyokong bola sepak tempatan dan nama JDT sekali lagi menjadi bahan makian netizen.

Isu tiga kad merah yang dilihat seakan-akan membantu JDT memenangi perlawanan diulang kicau di Twitter dengan galaknya dan dikongsi di FB tanpa memikirkan dosa dan pahala.

Fitri Maskon, pengadil bertugas pada malam itu adalah pengadil FIFA. Bukan calang-calang orang mampu menggalas tugas sebagai pengadil FIFA. Jelas dari perlawanan itu, pengadil menggunapakai undang-undang berdasarkan standard FIFA.

Tetapi seperti biasa penyokong bola sepak Malaysia yang jelas masih buta akan undang-undang bola sepak menyalahkan pengadil dan JDT. Mengapa saya berani berkata demikian. Ini adalah sebabnya.

Tiga kad merah yang dilayangkan bukanlah ‘straight red’ sebaliknya adalah kesalahan kad kuning kedua yang membawa kepada kad merah. Penyokong sendiri jelas melihat bagaimana corak permainan Felda United pada malam itu. Bermain parkir bas dan membentes keras pemain JDT.

Mengikut buku undang-undang permainan FIFA, kad kuning boleh dikeluarkan jika pemain melakukan kekasaran, berniat melakukan kekasaran, menyentuh bola dengan tangan, melambat-lambatkan permainan, membuka baju selepas menjaringkan gol dan mencemuh pengadil ataupun penjaga garisan.

Kad merah pertama yang dikenakan kepada pemain Felda United jelas melihatkan kegopohan beliau dalam melakukan kekasaran sekaligus mengundang pengadil untuk memberikan kad kuning kedua sekaligus kad merah.

Tindakan melambat-melambatkan perlawanan adalah penyebab kepada kad kuning kedua buat Thiago Aguino sekaligus menjadi pemain kedua dibuang padang. Drama beliau ketika disuruh meninggalkan padang adalah antara penyebab tambahan masa diberikan sebanyak 8 minit.

Foto: Khalis Imran – Gawang.my

Tindakan Hadin Azman yang menyerang dan menolak pengadil sememangnya mengundang kad merah. Tetapi beliau bernasib baik kerana hanya dilayangkan kad kuning tetapi akibat dari kekasaran awal beliau, kad merah dilayangkan susulan kad kuning yang kedua.

Tindakan akan menjadi lebih buruk buat Felda United jika Jasazrin Jamaludin juga dilayangkan kad merah. Beliau dilihat koyak dan pecah mental dan bermain mengikut emosi. Beliau juga menolak pengadil tetapi bernasib baik hanya dilayangkan kad kuning sahaja.

 

Jelas disini tindakan pengadil adalah tepat untuk kad merah itu. Tetapi mungkin ada beberapa insiden lain yang kita boleh pertikaikan keputusan pengadil ini. Mungkin kemarahan netizen sedikit reda jika Felda berjaya mencuri mata di Larkin tetapi sebaliknya yang berlaku.

Buat penyokong sila faham undang-undang bola sepak dan jangan terpengaruh dengan provokasi dari laman-laman pemecah belah umat di media sosial. Jadilah penyokong yang berilmu dan bukannya beremosi. Fikir-fikirkanlah ye.

Jikalau anda mengatakan pengadil tersebut berat sebelah maka adakah anda juga mengatakan bahawa seorang pemain boleh mengasari pemain lawan dari belakang, membuang masa perlawanan dan menolak pegawai perlawanan? – Alistair Edwards, Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT)

Jasni Ramli, Felda Taib Andak

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply