Malam gemilang Asia diteruskan oleh JDT apabila berjaya menundukkan pendahulu Liga Korea Selatan, Ulsan Hyundai 2-1 sekaligus membawa getaran kepada setiap penyokong baik yang di stadium mahupun di rumah.
Ketika ramai yang memperkecilkan kemenangan JDT ke atas Guangzhou FC dengan alasan kelab China itu menurunkan skuad muda, JDT sekali lagi membuktikan telahan mereka salah.
Kali ini JDT berjaya membenam cabaran juara ACL 2020 dengan bergaya. JDT bermain dengan falsafah bola sepak mereka dan bukan hanya bertahan dan mengharapkan serangan balas atau penalti.
Corak permainan JDT dilihat seakan-akan sempurna dengan tekanan hebat yang diberikan kepada lawan dan akhirnya penjaga gol kebangsaan Korea Selatan terpaksa akur dengan dua gol berkelas dunia jaringan gandingan FORSBERG.
Kerisauan bekas kapten Korea Selatan ketika Piala Dunia 2002, Hong Myung Bo yang kini menjadi jurulatih Ulsan tentang gandingan FORSBERG nyata menjadi kenyataan apabila kedua-dua pemain ini bersinar dan memberikan kekalahan pertama Ulsan dalam ACL sejak 2020.
JDT berjaya menyerap tekanan dan mengecewakan barisan serangan Ulsan dengan Natxo Insa dan Shane Lowry memberikan persembahan terbaik memastikan bola sentiasa berada dalam kawalan pemain JDT.
Selepas kehilangan Farizal, kini Haziq pula tercedera tetapi JDT tenang kerana Izham Tarmizi adalah bertaraf pemain antarabangsa yang sentiasa bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa sahaja.
Seakan tidak percaya apabila JDT sekali lagi memimpin carta Kumpulan I dengan enam mata maksimum dari dua perlawanan. Kini juara Liga Jepun pula menanti dengan dua kemenangan berturut-turut.
Kepada 11,410 penyokong yang hadir ke stadium dan yang menonton di mana sahaja anda berada, ini adalah sejarah buat JDT. Simpan kenangan ini sampai bila-bila dan jika ada yang berbunyi katakan sahaja alamak, JDT menang lagi laa.
Luaskan Kuasamu Johor.
Foto: Hazri Sharani – HS
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.