TUJUH — Itulah bilangan gol yang diledak oleh barisan pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika menundukkan Perak The Bos Gaurus dalam perlawanan CIMB Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim.
Walaupun bermain tanpa kehadiran pemain ke-12, skuad JDT menampilkan persembahan tujuh bintang dengan permainan bergaya dan bertenaga dari minit pertama hingga ke minit terakhir sekaligus menyamai rekod kemenangan 7-0 ke atas Melaka United pada 2017.
Tujuh jaringan menerusi hattrick dari Gonzalo Cabrera, dan masing-masing satu gol dari maestro tengah Afiq Fazail, MVP Safawi Rasid, Abang Tiktok Akhyar Rashid dan senjata baharu JDT Ramadhan Saifullah cukup menggembirakan para penyokong JDT.
Siaran langsung melalui penstriman di laman Youtube juga membantu penyokong untuk menyaksikan aksi bertaraf tujuh bintang ini apabila mencatatkan jumlah tontonan hampir 110,000 pengunjung di laman YouTube unifi.
Tiga jaringan Cabrera juga menyaksikan beliau kini muncul penjaring luar negara terbanyak sepanjang zaman JDT dengan 55 gol mengatasi jaringan 53 gol oleh Jorge Pereyra Diaz. Ketenangan dan kerja keras beliau di atas padang sangat dikagumi para penyokong.
Walaupun gagal menjaringkan gol, tetapi empat bantuan jaringan dari Diogo membuktikan bahawa beliau adalah pemain ‘all rounder’ yang mengkucar kacirkan pertahanan lawan selain ketenangan Natxo Insa melindungi pertahanan terlihat cukup berkesan.
Ramadhan semakin mendapat keyakinan sebagai pemain dan aksi mantap dan matang yang ditonjolkan produk akademi JDT ini sangat membanggakan dan gol volley beliau membalas kepercayaan barisan jurulatih yang meletakkan beliau di hadapan Safawi Rasid dalam kesebelasan utama.
Kemenangan bergaya ini ditambah pula dengan kekalahan pencabar terdekat Terengganu, menyaksikan JDT semakin menghampiri gelaran juara liga buat kali ketujuh berturut-turut. Satu rekod yang sangat mengagumkan untuk pasukan yang baru lapan tahun ditubuhkan.
Tetapi masih ada banyak perlawanan yang perlu ditempuh sebelum kita boleh berpesta. Pastikan terus memberikan sorakan tidak berbelah bahagi seperti mana para pemain bermain umpama wira di dalam padang.
Perlawanan ketujuh Liga Super menentang Terengganu bakal menjadi penentu adakah kejuaraan ketujuh bakal menjadi milik kita. Percaya kepada pemain, percaya pada barisan kejurulatihan dan percaya bahawa kita adalah yang terbaik ketika ini. Luaskan Kuasamu Johor.
Foto: MFL
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.