Masihkah kita semua ingat akan pasukan bola sepak negeri Johor yang bergelut di kelompok pertengahan liga dan masih menggunakan dana kerajaan negeri untuk kekal bertanding. Bukan satu tetapi ada empat wakil negeri Johor yang bersaing dan masing-masing mempunyai masalah kewangan.
Ini adalah gambaran sebenar keadaan menyedihkan bola sepak negeri Johor sebelum diambil alih oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim pada tahun 2012 sekaligus menjenamakan semua pasukan menjadi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Baginda sedar bahawa bola sepak moden memerlukan organisasi yang profesional dan ditunjangi oleh individu-individu yang faham dan arif tentang bola sepak. Maka segala apa yang berlaku di JDT semuanya bersifat profesional.
Setelah 8 tahun, JDT muncul kelab paling sukses di Malaysia dan Asia Tenggara. Kejayaan merangkul Piala AFC adalah antara bukti bahawa apa yang dilakukan di JDT adalah tepat dan berkesan.
Menghampiri separuh tahun 2020, dunia telah digemparkan oleh pandemik Covid-19 yang menyaksikan perlawanan bola sepak terpaksa ditangguhkan ke satu masa yang akan datang. Kesan daripadanya semakin banyak pasukan bola sepak tempatan yang mula kekeringan dana.
Kebergantungan pasukan bola sepak Malaysia kepada dana kerajaan negeri dilihat memerangkap mereka apabila pucuk pimpinan sering bertukar akibat dari perubahan lanskap politik tempatan.
Pasukan seperti Melaka United kini semakin terasa bahangnya apabila gagal mendapatkan dana dari penaja manakala perubahan parti pemerintah negeri menyaksikan mereka menerima Presiden FA yang baharu dan tidak sehaluan dengan kepimpinan yang lama.
Pasukan Kedah dilihat bakal menerima nasib yang sama jika kehilangan Presiden KFA ekoran perubahan kerajaan negeri. Statut perlembagaan pasukan yang menyatakan presiden persatuan bola sepak negeri haruslah Menteri Besar menjadikan pasukan akan hilang arah dan kemungkinan kehilangan penajaan kerana perjanjian adalah berasaskan kepentingan politik.
Adakah pasukan Kelantan juga bakal menerima nasib seperti Perlis yang dibatalkan penyertaan mereka musim lepas. Bebanan hutang yang sampai ke kemuncak menyaksikan KAFA terpaksa membuat tabung rayuan bagi membantu mendapatkan dana bagi membayar hutang bekas pemain import mereka.
Perkara ini perlu dihapuskan jika mahu menyaksikan bola sepak Malaysia menjadi lebih profesional dan berdaya saing. Sudah sampai masanya kita mengambil langkah menswastakan pasukan dengan berkiblatkan Thailand dan Vietnam yang mempunyai banyak kelab yang bergerak secara profesional.
Walaupun kelab kecil, tetapi kelab-kelab ini menerima penajaan dari syarikat tempatan sekaligus kekal berdaya saing mengikut kemampuan kewangan masing-masing. Lihatlah bagaimana bola sepak Thailand dan Vietnam yang kini semakin berkembang maju.
Liga Malaysia memerlukan lebih banyak kelab-kelab yang mampu menjana pendapatan mereka menerusi penajaan dan satu hari nanti mungkin menerusi pemilikan penyokong. Semua gilakan bola sepak Eropah tetapi tidak ramai yang mahu menerapkan sisi profesional yang diamalkan pasukan Eropah.
Buat pasukan lain, ayuh kita sama-sama menuju ke arah profesional. Tidak perlu berbelanja besar tetapi cukuplah dengan mengukur baju di badan sendiri. Biar kita bermula secara kecil dahulu dan berkembang mengikut kadar kemampuan kita.
Buat penyokong JDT, kita seharusnya bersyukur kerana kita dikurniakan seorang pemimpin yang faham apa erti bola sepak moden. JDT menjadi sebuah kelab yang dicontohi dan membuktikan kelab mampu berjaya tanpa sesen pun wang kerajaan.
Jangan ego dan sentiasa merendah diri. Bayangkan apakah ada JDT jika kita masih mengharapkan bantuan dana dari kerajaan negeri? Atas sebab ini kita perlu kenang sejarah supaya kita sedar bahawa kita berani berubah ke arah yang lebih baik.
“Maka Nikmat Tuhan Mana Lagi Yang Kamu Dustakan” : Ar-Rahman 55
Luaskan Kuasamu Johor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.