Ramai penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang teruja menantikan undian Liga Juara-Juara AFC (ACL) kerana ingin mengetahui pasukan manakah yang bakal dihadapi JDT.
Setelah berakhir undian, JDT diletakkan dalam Kumpulan I bersama-sama juara Jepun, Kawasaki Frontale, kelab tempat ketiga Liga Super China, Guangzhou FC dan pemenang Play Off antara Ulsan Hyundai dan Port FC dari Thailand.
Sememangnya ianya bukan kumpulan yang mudah bagi Harimau Selatan tetapi harus diingat, tiada apa yang mustahil dalam kamus bola sepak dan JDT pernah membuktikan kemampuan mereka di ACL sebelum ini.
Dalam tiga tahun penyertaan JDT di ACL, skuad kendalian Benjamin Mora ini berjaya mencatatkan kemenangan pada setiap tahun bermula 2019 hingga kempen 2020 dan 2021 yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.
Ketika mula-mula menyertai ACL, JDT langsung tidak diletakkan sebarang harapan apabila diundi bersama-sama juara bertahan, Kashima Antlers tetapi sebaliknya berlaku apabila JDT berjaya menewaskan Kashima Antlers 1-0 ketika bermain di Larkin.
Sejak dari itu keyakinan para pemain memuncak dan mereka semakin mempercayai diri dan sekali lagi mencipta kemenangan untuk musim 2020 apabila menewaskan wakil Korea Selatan, Suwon Bluewings 2-1 ketika aksi sulung ACL di Stadium Sultan Ibrahim.
Rentetan kemenangan itu tidak berhenti apabila JDT sekali lagi mencatatkan Kementerian ketiga dalam ACL selepas menewaskan kelab Thailand, Ratchaburi FC 1-0 ketika aksi yang berlangsung dalam gelembung sukan di Bangkok.
Kini cabaran baharu menanti JDT. Tetapi ini semua bagus buat Harimau Selatan kerana dapat bertemu lawan yang bagus secara kompetitif dan bukannya menerusi perlawanan persahabatan. Bukan satu tetapi enam perlawanan.
Dengan syarat baharu AFC yang membenarkan setiap pasukan mendaftar seberapa banyak pemain antarabangsa, JDT boleh membawa keseluruhan skuad tetapi masih perlu mengikuti syarat 3+1 pemain import yang masih dikekalkan ketika perlawanan berlangsung.
Seperti yang kita maklum, penampilan JDT di ACL banyak membantu meningkatkan mutu permainan kerana didedahkan dengan mutu permainan kelas tinggi dari kelab-kelab ternama Asia.
Sememangnya ia nampak sukar di atas kertas tetapi bola itu bulat. Sesiapa sahaja boleh menjadi pemenang dan tuah mungkin memihak kepada JDT.
Selamat maju jaya diucapkan kepada JDT. Segala persiapan yang telah diusahakan diharap dapat membuahkan hasil untuk menjadi kelab Malaysia pertama layak ke peringkat 16 terbaik ACL. Luaskan Kuasamu Johor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.