JDT & ANAK TEMPATAN – BUKTI SUDAH ADA DI DEPAN MATA

Dominasi JDT bukan hanya di peringkat pasukan utama. Ia bermula dari satu sistem dari akar umbi dan semua peringkat.

Daripada U12 hingga U20, generasi demi generasi terus menunjukkan prestasi luar biasa. Piala Presiden U20 sudah empat tahun juara berturut-turut, Piala Belia dua tahun juara berturut-turut dan kini kejayaan anak-anak Johor di pentas SUKMA.

Yang lebih membanggakan, kejayaan ini melibatkan anak-anak muda tempatan.

Ini bukan sekadar tentang mengumpul trofi. Ia adalah bukti bahawa sistem pembangunan dan akademi JDT yang dibina sejak bertahun-tahun lalu sedang membuahkan hasil.

Mereka bukan hanya dibentuk untuk menjadi pemain bola sepak tetapi dibina dengan disiplin, mentaliti kemenangan dan budaya JDT sejak daripada usia muda lagi.

Hari ini kita melihat mereka mengangkat trofi. Esok mungkin mereka pula yang berdiri di Stadium Sultan Ibrahim bersama pasukan utama.

Dari U12 ke U20. Dari akademi ke SUKMA. Dari anak-anak muda Johor kepada masa depan Harimau Selatan.

Kita kena faham, untuk membina sebuah empayar, ia bukan kerja sehari atau setahun dua. Ia memerlukan visi, sistem, kesabaran dan proses yang berterusan.

Idea DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sejak dahulu dikecam tetapi kini sudah ramai mengakuinya betul walaupun malu-malu untuk mengakuinya.

Dominasi sebenar bukan apabila kita menang sekali. Tetapi apabila setiap generasi terus melahirkan juara. Luaskan Kuasamu Johor!