BUKAN NASIB, INI VISI TMJ

Dalam dunia bola sepak, ramai melihat kejayaan sebagai hasil nasib dan rezeki di hari perlawanan samada keputusan yang memihak atau kebetulan yang menyebelahi. Tetapi bagi Johor Darul Ta’zim, apa yang kita saksikan hari ini bukanlah nasib.

Ini adalah hasil daripada satu visi yang jelas, berani dan konsisten. Visi pemilik, DYAM Tunku Mahkota Ismail Pemangku Sultan Johor.

Tanpa visi, JDT mungkin masih berada di takuk lama. Pentas Asia seperti AFC Champions League Elite bukan sesuatu yang mudah dicapai apatah lagi untuk bersaing dengan kelab-kelab gergasi. Namun TMJ melihat jauh ke hadapan, ketika ramai masih ragu-ragu. Apa yang orang lain anggap mustahil baginda jadikan misi.

Ini bukan perjalanan yang mudah. Ia adalah satu “kerja gila”. Projek jangka panjang yang menuntut pengorbanan luar biasa daripada segi masa, tenaga dan kewangan. Dari pembangunan fasiliti bertaraf dunia, pengurusan profesional, hinggalah kepada pembinaan identiti kelab semuanya dibina daripada bawah dengan satu tujuan iaitu meletakkan Johor di peta bola sepak Asia.

Kenapa semua ini dilakukan?

Kerana cinta. Cinta kepada Johor, cinta kepada rakyatnya dan kepada maruah negeri. Bola sepak dijadikan medium untuk menyatukan, membina kebanggaan dan memberi harapan. Dalam setiap pelaburan, dalam setiap keputusan berani tersirat satu mesej iaitu Johor tidak datang untuk sekadar cukup syarat tetapi untuk bersaing dan dihormati.

Namun di sebalik semua ini, ada satu perkara yang tidak boleh dibeli iaitu sokongan. Di sinilah peranan penyokong menjadi nadi kedua kepada perjuangan ini. Berdirilah bersama TMJ dan pasukan. Jagalah kekuatan kita sebagai satu sokongan luar biasa. Jangan beri ruang kepada pihak lawan untuk memecah-belahkan kerana kekuatan sebenar JDT bukan hanya pada padang tetapi pada kesatuan penyokongnya.

Foto: Boys Of Straits

Perjalanan ini masih panjang. Akan ada jatuh bangun. Akan ada cabaran yang menguji kesetiaan. Tetapi di situlah letaknya nilai sebenar sebuah perjuangan. Setia bukan sekadar ketika menang tetapi setia adalah ketika kita tetap berdiri walaupun sukar.

Kerana akhirnya, apa yang dibina hari ini bukan sekadar kemenangan tetapi legasi.

Rekod JDT di ACL/ACLE

2019, 2020, 2021 – Peringkat Kumpulan
2022 – Peringkat 16 Terbaik
2023 – Peringkat Kumpulan
2024/2025 – Peringkat 16 Terbaik
2025/2026 – Suku Akhir 8 Terbaik

Life is a marathon. Not a sprint. Enjoy the journey, each day is blessing. Allahuakbar.” – TMJ