SORAKAN LUAR BIASA PENYOKONG JDT JADI PUNCA MALAM GEMILANG ASIA TERCIPTA

Pertama sekali, tahniah diucapkan kepada 31,386 penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim kerana anda menjadi salah satu faktor utama kemenangan bergaya 3-0 Harimau Selatan keatas wakil China, Shanghai Shenhua.

Kedua, tahniah sekali lagi kepada para penyokong yang berjaya mencipta rekod kehadiran tertinggi musim 2024-25 ini dan kita disajikan dengan aksi bermutu tinggi dan berkualiti di peringkat tertinggi bola sepak kelab Asia.

Ketiga, tahniah kepada para penyokong kerana memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi dan membuktikan hari Selasa tidak menjadi penghalang buat kita hadir beramai-ramai meskipun ada yang terlewat namun itu bukan sebab untuk tidak hadir ke stadium.

Pemain Terbaik Perlawanan, Arif Aiman Hanapi turut mengucapkan terima kasih kepada para penyokong kerana dia dapat merasakan semangat tambahan ketika beraksi dan ini menjadi antara sebab dia mahu kekal sampai bila-bila di JDT.

Saya meraikan kemenangan dan jaringan saya tadi adalah untuk penyokong Johor. Tanda saya menghargai penyokong yang selama ini datang ke stadium untuk menyokong JDT. Saya gembira di sini dan jika boleh saya mahu bermain untuk JDT sampai bila-bila,” jelasnya bangga.

Penjaring gol kedua, Jorge Obregon juga tidak dapat melupakan detik indah ini bersama-sama penyokong yang padanya adalah sangat menakjubkan dan getaran sokongan dapat dirasai di dalam padang dan dia sememangnya menyukainya.

Sejujurnya para penyokong sangat fantastik dan mereka memberikan kami motivasi tambahan dan kami harap dapat berikan mereka kegembiraan dan akan datang kembali ke stadium untuk berikan sokongan,” jelasnya.

Sementara itu, pemain pertahanan, Murilo Santos juga merasakan usaha pemain di dalam padang dipermudahkan lagi dengan sokongan penyokong yang ramai dan dia turut gembira dengan kehadiran mereka ke stadium.

Saya gembira melihat ramai penyokong yang hadir dan ianya memudahkan kami ketika bermain kerana dapat merasakan getaran sokongan itu di dalam padang,” ujarnya.

Tahniah sekali lagi kepada para penyokong. Malam gemilang elit Asia kita berjaya cipta dan kita berjaya tunjukkan kepada Asia siapa kita dan tiga mata penuh menjadi hadiah dan memori teristimewa buat semua.

Ini Johor Darul Ta’zim. Luaskan Kuasamu Johor.