Seluruh Malaysia dan isi alamnya seakan-akan tidak percaya dan masih menggosok mata apabila melihat sesi sidang media Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang aksi final Piala FA 2024-25 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Apa tidaknya, sesuatu yang tidak pernah disaksikan di negara ini berlaku apabila sesi sidang media itu selesai dalam tempoh hanya 90 saat selepas kem Harimau Selatan mengambil pendekatan berdiam diri.
Hanya perkataan ‘no comment’ dan ‘good’ sahaja yang diutarakan wakil pasukan sekaligus mengundang histeria para media dan penyokong yang seakan-akan tidak percaya dengan cara yang dilakukan oleh JDT.
Tatkala kem Selangor begitu seronok berkongsi kejayaan layak ke final, JDT bertindak untuk berdiam diri kerana sedar apa yang penting adalah permainan di dalam padang pada Sabtu dan bukannya. bermain kata-kata dalam sidang media.
Semua sedar, apa yang diperkatakan oleh JDT akan menjadi berita dan atas sebab itu pengurusan JDT mengambil langkah berdiam diri kerana pepatah ada mengatakan bahawa diam itu pintar.
Jika dilihat dari sudut taktikal perang, diam adalah senjata terkuat kerana ianya membingungkan pihak lawan yang langsung tidak mempunyai gambaran mengenai apa yang berlaku dalam pasukan lawan.
Dari sudut agama pula, kesemua agama dan Islam terutamanya menyarankan supaya diam apabila keadaan tidak memihak kepada kita kerana bimbang kata-kata kita boleh mengguris pihak lain atas sebab perkataan itu lebih tajam dari mata pedang.
Jelas apa yang dilakukan adalah perang psikologi dan ‘mind games’ yang boleh mengganggu pihak lawan sekiranya mereka terlalu memikirkan mengenai ‘silent treatment’ yang dilakukan oleh JDT ketika final ini.
Buat para penyokong, anggap ini semua sebagainya daripada taktik daripada JDT. Kita teruskan sokongan dan lihat perlawanan menentang Selangor ini sebagai perlawanan Piala Sumbangsih yang tertangguh dan titik mula untuk kita ‘move on’ dari sebarang permainan persepsi yang bermain dari awal musim.
Kita adalah penyokong yang matang begitu juga mereka. Biarkan pemain bermati-matian di dalam padang dan kita kekalkan persahabatan sebagai penyokong bola sepak yang mempunyai semangat kesukanan.
Ambil pendekatan diam adalah pintar dan ‘enjoy’ satu lagi final di Bukit Jalil. Ingat, kita ini Johor Darul Ta’zim. Bawa nama ini dengan baik dan bangga walau di mana pun kita berada. Johor mesti jadi Johor. Luaskan Kuasamu Johor.