YANG KAMI PERLUKAN CERITA YANG BENAR, BUKAN SEKADAR CERITA YANG BESAR

Masihkah kita ingat tragedi lalu? Berlaku lebih kurang sebelas tahun dahulu.

Reminisensi lapan Mac dua ribu tiga belas hukuman dijatuhkan berdasarkan Artikel 88 dan kod tatatertib 6.2.2. Ketika Tunku masih memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor secara amnya. Ekoran mengkritik mutu pengadilan Liga Malaysia yang ditakrif berada di tahap amatur dan tidak berkualiti. Baginda didenda sebanyak RM18,000 serta digantung enam bulan daripada terlibat dalam sebarang aktiviti.

Dengan lapangnya dada serta akur, Tunku menerima segala hukuman tanpa membantah. Namun apabila ada wartawan bertanya pula kepada DYMM Sultan Johor, seraya baginda Sultan lantas bertitah;

Saya kata kepadanya, apa sahaja keputusan FAM kita perlu terima dengan hati yang terbuka. Saya tak mahu ada double standard walaupun dia anak saya”- 8 Mac 2013, DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor

Sejak itu, segala hukuman tidak stagnasi disitu sahaja. Bagai tradisi bertahun-tahun JDT terus dihukum dengan nilai wang yang berlipat kali ganda. Tidak pernah Tunku mengugut untuk menekan kekunci jeda. Tidak pernah sekali baginda DYMM Sultan Johor menzahirkan perasaan murka.

Percaturan dan permainan persepsi”

Pada situasi terkini, realitinya Tunku, JDT termasuk baginda DYMM Sultan Johor sedang diheret ke gelanggang permainan persepsi yang agresif. Bagaimana kelompok pesimistik dan reaksionis yang regresif mengambil kesempatan dari insiden Faisal Halim mewujudkan interaksi protensif. Berfalsafah syaitan memenangi kepercayaan. Lalu perlahan-lahan disemai putik-putik yang bercambah menjadi bunga kebencian.

Melalui medium bola sepak mereka bertapak, menyebarkan hasutan yang mereka corak. Ianya merangkumi berbagai pihak. Ya! Terlalu luas ia merebak!

Antara yang jelas nampak,

Pertama, usaha doktrinasi oleh hama-hama politikus dengan menyentuh sensitiviti bangsa, agama dan raja demi mahu menutup kesilapan menggadaikan Pedra Branca. Ianya bermula sejurus Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, memperkenankan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkuat kuasa serta merta. Yang memang menjadi milik mutlak kerajaan Jauhar sejak berabad-abad. Jajahan takluk kesultanan DiRaja Johor berdasarkan perjanjian crawfurd tanggal dua Ogos lapan belas dua puluh empat. Kerana itu, tiba-tiba hal bola sepak diambil berat. Walaupun kudrat semakin hari semakin tak larat.

Kedua, sikap evasif pengurusan sebuah kelab bola sepak yang mahu menutup kelemahan sejak bertahun-tahun bertapak. Setelah berjuta-juta peruntukan ditelan namun tiada apa yang nampak. Organisasi yang penuh agenda dan kritikal berpenyakit. Menjadi sarang berasimilasi semua kulat dan parasit. Pancing simpati pula menjadi modus operandi. Sepantas Cahaya Chenrenkov media tunggangan menyebar segala intipati. Umpama berniaga dihujung lidah. Labanya populariti yang begitu melimpah ruah.

Mahukah orang menghujankan garamnya?”

Berbalik kepada hukuman yang dikenakan kepada Selangor FC. Saya kekal berpendapat bahawa hukuman itu masih dianggap ringan kecuali perenggan keempat yang menyebabkan disorientasi.

Menyelongkar retrospeksi, Selangor FC mengumumkan menarik diri empat puluh lapan jam sebelum bermulanya konkurensi. Konsekuensi berdasarkan faktor itu, lalu tercetuslah polemik seterusnya konfrontasi.

Tempiasnya, organisasi JDT mengalami kerugian melebihi RM300 ribu secara kasarnya. Merangkumi pelbagai kos yang telah awal-awal sudah tersedia. Belum lagi diulas kesusahan dan kerugian penyokong-penyokong. Yang teruja hadir ke stadium setelah lebih kurang lima bulan hari dihitung.

Maka denda dalam bentuk tuntutan kerugian memang patut dijatuhkan. Manakala potong mata itu sudah menjadi kelaziman. Tiada apa yang perlu dipertikaikan. Tiada sebab ianya perlu diperdebatkan.

Kesimpulannya, seratus peratus bukan salah JDT, ternyata tiada sekelumit pun salah kami.

Akhir kalam, minta maaf kepada rakan-rakan yang tidak sependapat. Saya merasakan ini adalah hak saya untuk meluahkan segala pendapat. Jika anda boleh mempertahankan kelab anda, maka tidak salah saya juga boleh melakukan perkara yang sama. Asal berdiri atas fakta, bukan bertindak mereka cerita.

Bahu memikul, hati menyokong. Selamanya Johor Darul Ta’zim.

Kalau mereka benci saya kerana saya sayangkan negeri Johor, dan meletakkan keutamaan kepada negeri Johor, saya rasa lebih baik mereka teruskan membenci. Kerana kasih sayang saya kepada negeri Johor dan Bangsa Johor tidak akan berubah. Jikalau mereka melihat saya menyayangi negeri Johor dan meletakkan negeri Johor sebagai keutamaan itu satu kesalahan, maka saya rela bersalah selama-lamanya”-19 Okt 2017, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor

Merah itu darahmu, biru itu nyawamu.

Dayung sudah ditangan, perahu sudah di air,
Elok kata dalam muafakat, buruk kata luar muafakat.

Artistik dari manusia satu denyut