JENAMA JDT KINI TERATAS DALAM SEMUA PERTANDINGAN

Kebelakangan ini emosi kita sebagai penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sering diganggu gugat oleh anasir-anasir luar yang tidak lain tidak bukan hanya mahu memecah belahkan keharmonian Keluarga JDT yang telah terbina utuh sejak sedekad lalu.

Mengapa perkara ini terjadi? Mudah sahaja kerana perasaan tidak senang dengan apa yang kita ada dan kita juga mudah sangat melatah dengan segala tohmahan yang diberikan. Kita perlu lebih tenang, rapatkan saf dan biarkan data menjadi bukti kejayaan kelab kesayangan kita ini.

Tahun 2024 ini sekali lagi menjadi bukti betapa jenama JDT itu sememangnya membawa makna juara baik dalam segala apa sukan yang diceburi. JDT tidak pernah membuat cerita dongeng tetapi membuktikan segalanya di gelanggang.

Mari kita lihat prestasi kesemua pasukan JDT dalam setiap peringkat pertandingan bola sepak tempatan bermula dengan pasukan utama di Liga Super. Selepas tiga perlawanan termasuk aksi Piala Sumbangsih yang dibatalkan, JDT unggul di persada liga dengan 9 mata yang mana ianya bukan sesuatu yang mengejutkan.

Skuad JDT II juga cemerlang di Piala MFL apabila juga menduduki tangga teratas liga selepas mengutip enam mata dari dua perlawanan untuk permulaan yang baik bagi merebut kejuaraan liga bawah 23 tahun itu.

Seperti tidak mahu mengalah, skuad JDT III pula menguasai tangga teratas Kumpulan A Piala Presiden dengan 17 mata dari tujuh perlawanan manakala skuad JDT IV pula kini merajai takhta Kumpulan B Piala Belia selepas lapan perlawanan.

Tidak cukup dengan bola sepak, skuad JDT Futsal juga semakin mengorak langkah apabila menguasai tangga teratas Liga Premier Futsal Kebangsaan 2024 selepas berakhir pusingan pertama dan selesa lima mata mengatasi pencabar utama.

Harimau Selatan bukan sahaja handal di peringkat umur senior, malah di peringkat akademi juga, skuad JDT B-15 dan B-13 masing-masing mendahului kategori di Singapore Youth League dengan kemenangan besar setiap kali mereka turun beraksi.

Lebih manis, kesemua pasukan JDT ini masih belum tewas dalam mana-mana pertandingan sekaligus membuktikan jenama JDT ini sangat konsisten tanpa mengira peringkat umur.

Inilah ‘winning mentality’ yang telah diterapkan oleh Pemilik JDT yang juga Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail kepada semua pemain yang menyarung jersi keramat merah biru dan juga barisan kejurulatihan.

Jenama JDT tidak hanya berhenti di sukan bola sepak, malah kini sudah bergelar juara di sukan permotoran apabila pasukan JDT Racing Team berjaya memenangi perlumbaan pertama mereka di Litar Zhuhai, China sekaligus membawa jenama JDT di persada antarabangsa.

Apabila anda membawa nama JDT, kemenangan sahaja tidak cukup dan kini pelumba kita sudahpun mendahului kedudukan keseluruhan pelumba ketika kejuaraan memasuki pertengahan musim. Hebat bukan.

Sentuhan midas yang ada pada Pemilik JDT ini sudah terbukti dan atas sebab itu lah rasa iri hati mula timbul dari para persaing yang gagal bersaing. Mereka mula mengadu domba tetapi sebagai seorang tentera, ianya langsung tidak menggoyahkan Baginda.

Foto: Ezreen Abd Talip

Jadi kita sebagai penyokong perlu berdiri seiring dan sentiasa dibelakang Baginda untuk mempertahankan jenama JDT ini. Biarkan apa yang mereka katakan kerana dalam jiwa kita sememangnya menebal dan percaya dengan kekuatan jenama ini.

Terus penuhkan stadium di mana pun JDT bermain sebagai tanda percaya dan sayangnya kita kepada Johor Darul Ta’zim kerana perlu diingat, inilah impian mereka semua diluar sana. Oleh itu hargailah anugerah terindah ini. Ayuh Johor, Luaskan Kuasamu Johor.