“Dalam kehidupan ianya sangat penting untuk menyedari siapa diri kita dan dimana kita. Anda boleh mempunyai impian, tetapi harus realistik. Hiduplah dalam realiti dan bukan hanya berhalusinasi” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Sebuah impian memerlukan kesungguhan luar biasa untuk direalisasi. Dengan impian, ia membuatkan organisasi sentiasa progresif menuju destinasi.
DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah meletakkan impian demi impian dalam memastikan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi sebuah empayar yang dinamik. Di saat segelintir individu dalam pasukan bola sepak Liga Malaysia yang baharu bereksprementasi dengan penswastaan hanya gemar memanipulasi impian supaya mendapat publisiti murahan untuk mewujudkan polemik.
Dalam naratif perjalanan JDT dari sejak mula hingga sekarang, impian diacu sendiri oleh DYAM Tunku Mahkota Johor. Dari sekecil impian bercambah menjadi besar, lalu berjaya menguatkan kelab kerdil ini menjadi sebuah kelab yang dominan dan sangat tersohor.
JDT MERAWAT BOLA SEPAK MALAYSIA YANG UZUR
“Setelah menjenamakan semula JDT sejak 2013, kita bukan sahaja telah mentransformasikan pasukan kita, malah mengubah seluruh landskap bola sepak Malaysia” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Masih ingat? Suatu masa dahulu, berpuluh-puluh tahun sebelum ini, liga Malaysia hanya dipandang sebagai sebuah liga yang tidak kompetitif, tiada berdaya saing dan tiada kualitatif. Ketika itu, liga penuh dengan birokrasi, penuh dengan korupsi dan dijajah sekelompok individu yang bersikap evasif.
Manakala ketika mana-mana pasukan Malaysia beraksi di kejohanan yang menghimpunkan kelab-kelab dari luar negara, wakil dari Malaysia hanya menjadi pelengkap perlawanan dan tidak mampu bersaing dengan setara.
Konsekuensinya kita tertinggal jauh dengan kemajuan dan peningkatan kelab-kelab nusantara. Malah untuk menewaskan kelab dari Indonesia dan Singapura juga kita langsung tidak berdaya!
Landskap regresif bola sepak Malaysia telah berubah sekelip mata apabila kebangkitan dan revolusi radikal DYAM Tunku Mahkota Johor terhadap JDT. Dalam masa hanya beberapa tahun, kerana kesempurnaan konstruksi, impian mengubah interpretasi orang luar terhadap Liga Malaysia telah berjaya diimplementasi.
Tapi sayang. Kebanyakan orang Malaysia telah dibutakan dengan kekaburan faktual. Akibat terlalu obses dan paranoid terhadap JDT dan DYAM Tunku Mahkota Johor, segala sumbangan JDT dipandang hanya sekecil partikel.
IMPAK CETUSAN REVOLUSI BERMULA DARI SELATAN
Imbas kembali, Liga Juara-Juara Asia (ACL) adalah hasil penstrukturan baharu yang telah dirangka. Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) melakukan penggabungan Piala Pemenang Asia dan Piala Super Asia antara musim 2002-2003.
Sejak itu, Liga Juara-Juara Asia (ACL) menjadi kejohanan tahunan liga bola sepak paling elit di Asia. Berstatus kejohanan tertinggi di Asia, menjadi impian semua kelab yang bernaung di bawah AFC bukan suatu perkara rahsia.
Untuk makluman, tiada rekod pasukan dari Malaysia berjaya bersaing dalam peringkat kumpulan sejak penjenamaan semula. Ketika itu, bersaing dalam kejohanan prestij seperti Liga Juara-Juara Asia (ACL) pula hanya seperti impian yang amat mustahil direalisasikan oleh wakil dari Liga Malaysia.
Impian tidak selamanya menjadi impian. Pada tahun 2019, JDT selaku kelab pertama dari Malaysia berjaya meloloskan diri untuk bersaing ke peringkat kumpulan.
Musim demi musim berlalu, JDT mempamerkan peningkatan drastik. Pada musim 2022, JDT melangkah ke pusingan pusingan kalah mati 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 menerusi kemaraan epik.
Dengan sejarah demi sejarah yang dicatatkan oleh JDT, perspektif dan mentaliti konvensional pasukan Malaysia telah berubah. Bila dulunya hanya mementingkan pertandingan Piala Malaysia, kini mereka lantang melaungkan slogan mahu bertempur ke pentas Asia!
Pelik dan Ajaib.
Dahulu tanpa JDT mereka semua hanya menikus. Bila JDT mencetuskan revolusi baharu mereka berani menongkah arus?
Akhir kalam, jika dibuat komparatif dengan pasukan lain di Malaysia, terdapat satu jurang yang amat besar. Kualiti dan kemajuan yang dikecapi JDT, terlampau jauh untuk dilihat hingga memerlukan bantuan binokular.
Sedekad Dominasi, Quadruple Berganda hingga kumulatif Sepuluh Yang Sempurna. Dimana pula kedudukan kelab lain dalam peta, landskap dan sejarah arena Bola Sepak Malaysia?
“JDT ialah saya dan saya adalah JDT. Kedua-duanya milik orang Johor dan keluarga JDT di seluruh dunia”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Merah itu darahmu, biru itu nyawamu.
Foto: Amrul Azuar Mokhtar – HS