STADIUM SULTAN IBRAHIM LAMBANG KEBANGGAAN PENYOKONG JDT

Jika ditanya apakah lambang kebanggaan seorang penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim JDT, pasti pelbagai jawapan yang kita akan terima dari setiap penyokong.

Pasti ada yang mengatakan tentang kejayaan memenangi pelbagai piala sejak penubuhan kelab pada 2013, fasiliti hebat yang dipunyai kelab malah ada yang mengatakan kelab penyokong JDT adalah kebanggaan mereka.

Yang jelas, Stadium Sultan Ibrahim boleh diletakkan di tangga teratas sebagai lambang kebanggaan kelab ini. Baru berusia 9 tahun tetapi sudah mampu mempunyai stadium sendiri yang canggih dan bertaraf dunia.

Hari ini 22 Februari 2021 genaplah setahun stadium keramat Harimau Selatan ini. Imbas kembali setahun yang lalu bagaimana upacara perasmian gilang gemilang telah meletakkan nama JDT di persada dunia.

Percikan bunga api dan kilauan lampu seakan menandakan kehebatan jenama JDT dan ini terbukti apabila setahun kemudiannya Stadium Sultan Ibrahim telah disenaraikan antara stadium terbaik dunia oleh laman stadium terkemuka dunia.

Rasa bangga bukan kepalang apabila stadium baharu ini adalah satu-satunya wakil dari Asia Tenggara dan mampu duduk sebaris dengan beberapa stadium terbaik dunia dan mampu bersaing dengan dua stadium Piala Dunia 2022 Qatar.

Pencalonan ini sudah pasti menaikkan nilai stadium itu sendiri dan juga nilai JDT serta meletakkan nama Iskandar Puteri dalam peta dunia. Ianya juga selari dengan misi JDT dalam menjadi kelab pertama bernilai RM1 Bilion.

Atas faktor inilah, Stadium Sultan Ibrahim ini adalah lambang kebanggaan penyokong JDT. Selamat Hari Ulang Tahun SSI. Semoga stadium ini berjaya digamatkan semula apabila pandemik Covid-19 ini berjaya dikawal penularannya.

Buat semua penyokong, kekal tenang, nikmati kebanggaan dan teruskan menyokong kelab kita ini. Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply