8 APRIL DETIK KITA LEPAS RINDU PADA HARIMAU SELATAN

Menahan rindu adalah satu perkara yang sangat sukar diluahkan dengan kata-kata hingga ada yang menggunakan angin untuk mengirimkan kalimah kasih kepada yang dirindui dan perkara inilah yang sedang terjadi kepada para penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Perubahan kalendar Liga Malaysia musim 2024-25 menyaksikan kita terpaksa menunggu sehingga Mei untuk kembali ke gelanggang keramat, Stadium Sultan Ibrahim untuk memberikan sokongan kepada Harimau Selatan.

Namun begitu, segala keluh kesah bersama Kak Esah didengari pemilik JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang dengan berbesar hati mengadakan satu perlawanan persahabatan antarabangsa khusus buat kita menghilangkan rindu dendam di hati.

Kelab Singapura, Lion City Sailors akan menjadi tetamu di Iskandar Puteri dan apa yang menarik, kita semua diberikan kemasukan percuma untuk aksi ini. Nikmat Tuhan mana lagi yang ingin kita dustakan.

Perantau yang pulang untuk berhari raya juga berpeluang menyaksikan aksi Harimau Selatan yang bakal dibarisi kekuatan penuh dengan kembalinya pemain-pemain kebangsaan dan gandingan pemain import baharu.

Bagi yang berkemampuan, mungkin boleh melepaskan rindu lebih awal dengan menyeberang ke Temasek untuk menyaksikan JDT beraksi dengan lawan yang sama di Stadium Bishan pada 4 April.

Kita sudah boleh membayangkan suasana meriah di Stadium Sultan Ibrahim dengan Boys of Straits sudah tentu mempunyai gimik mereka tersendiri yang pastinya bertepatan dengan tema Hari Raya Aidilfitri.

Meraikan Hari Raya di dalam stadium bukanlah perkara baharu buat penyokong JDT kerana sebelum ini kita pernah berbaju melayu menyaksikan JDT melakar sejarah layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC pada 2022.

Jadi jangan lepaskan peluang untuk sama-sama melepaskan rindu dendam di hati untuk menyokong JDT dan anggaplah rezeki Ramadan dari DYAM Tunku Mahkota Ismail ini sebagai kurnia yang tak terhingga buat kita para penyokong.

Perlawanan antarabangsa di stadium tahap antarabangsa masuk pula percuma, sekali lagi tanya diri, nikmat Tuhan mana lagi yang kita dustakan. Ayuh semua penyokong buktikan ini Johor Darul Ta’zim. Luaskan Kuasamu Johor.