Nama saya Mohd Al Hafiz. Berumur dalam lingkungan 30-an. Anak jati Johor. Peminat bola sepak sejak dari zaman sekolah lagi. Nama-nama seperti Ronaldo, Rivaldo, Malouda, Makalele, Edgar Davids, Zambrotta, Louis Saha dan beberapa lagi nama lagenda bola sepak terulung dunia ini sudah tentu tidak asing lagi bagi peminat bola sepak seusia saya.
Kehidupan harian saya sentiasa berkaitan bola sepak, di sekolah topik perbualan juga mengenai bola sepak. Baju diconteng menjadi jersi. Kotak ubat gigi dan ubat nyamuk digunting untuk dijadikan pemain dalam “bola jentik”, buku sekolah dikoyak untuk dilipat menjadi tiang gol. Namun sayangnya saya tiada bakat untuk menjadi pemain bolasepak. Kaki bangku dan tiada kebolehan.
Paling tidak dilupakan pada waktu itu, seperti hari ini, sudah menjadi kegilaan ketika itu bagi kanak-kanak atau remaja bermain permainan elektronik. Dari zaman Nintendo, Sega Saturn hinggalah paling canggih Playstation1 antara jenama retro yang menjadi mimpi, impian dan igauan bagi zaman tersebut.
Keluarga saya tidak mampu untuk membeli permainan tersebut. Tetapi saya tetap berpeluang merasai nikmat bermain permainan tersebut di sebuah kedai nyonya yang menyediakan khidmat sewaan permainan tersebut mengikut jam. Winning Eleven adalah menjadi pilihan saya. Saya sanggup berlapar untuk menyimpan duit belanja sekolah demi untuk bermain permainan ini. RM4.50 bagi satu jam.
“Corner Kick’kek!!! Shooootoooooo!!, One Two!!!”
Itu antara suara-suara komentator berloghat Jepun yang tergiang-ngiang dalam ingatan saya sehingga kini.
Dalam permainan itu, Ronaldo dan Edgar Davies menjadi pemain kegemaran saya. Gaya Edgar Davies berkaca mata dan laju seperti mempunyai kuasa kuda memang ideal bila diletakkan dibahagian serangan manakala Ronaldo yang mempunyai kuasa “9” paling banyak memang mempunyai tendangan kencang dan begitu padu bila mendapat bola.
“Mengamit memori”
Kini memori itu datang kembali sejurus DYAM Tunku Mahkota Johor mengumumkan akan menjemput lagenda-lagenda ini datang beraksi di Larkin.
“Beraksi di Larkin! Beraksi di depan mata saya! Di bumi tumpah darah saya!! Ini bukan mimpi!”
Ya, ini bukan sebuah mimpi. Saya pernah mengimpikan bahawa dapat menyaksikan lagenda ini bermain didepan mata, bermain di bumi Johor. Kini dengan nilai serendah RM20, mimpi saya kini bakal menjadi kenyataan! Biarlah mereka kini semua sudah dimakan usia. Impian ini tidak pernah pudar.
“Kagum”
Saya begitu kagum dengan usaha Tunku. Bagaimana kesungguhan Tunku menonjolkan nama Johor Darul Ta’zim di mata dunia. Bukan sesuatu yang mudah untuk membawa pemain-pemain lagenda seperti ini datang bermain di Malaysia.
“Bukan kapitalis”
Dahulu, pemain-pemain bertaraf dunia ataupun kelab-kelab yang hebat di dunia ini akan hadir ke Malaysia hanya kerana agenda kapitalis. Membuat perlawanan pertunjukkan, mendapat wang, mengaut untung dan pulang. Apa hasilnya? Tiket mencecah ratusan ringgit. Tiada apa-apa yang boleh dibanggakan.
Namun berlainan pula dengan Tunku, Tunku berjaya membawa mereka ini untuk beraksi demi sebuah perlawanan amal! Sebuah perlawanan yang berbayar namun hasilnya akan di salurkan kepada Yayasan Kanser TLJ, Tabung Kanser Malaysia dan Womens Aid! Tiada unsur perniagaan, tiada agenda lain yang tersimpan.
Betapa usaha Tunku ini adalah misi serampang dua mata. Pertama untuk membuka mata orang luar betapa pesatnya pembangunan bola sepak dari sebuah kelab kerdil dan kedua betapa prihatin dan pekanya Tunku dengan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
Sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh ahli politik baik menteri ataupun mana-mana legasi Kerajaan. Banyak janji kosong yang melambung-lambung. Tiada isi, tiada paksi.
Akhir kata, Tunku telah menjadikan impian saya dan seluruh rakyat Johor untuk melihat pasukan Harimau Selatan menjadi kuasa bolasepak Malaysia menyadi kenyataan. Tunku juga telah berjaya merealisasikan impian kita untuk melihat banyak piala singgah berkelana ke tanah Selatan.
Kini Tunku telah sekali lagi memberi kurnia kepada kita dengan membawa lagenda-lagenda ini ke Johor. Terima kasih Tunku!
Kepada semua sahabat-sahabat seusia saya yang ingin mengembalikan memori zaman kecil, ini lah masa kita! 30 Jun! Cepatlah datang!!!
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.